Selasa, 8 April 2014

Belajarlah Dengan Merendah Diri - Hormati Guru



Kisah imam al-ghazali bersifat tawadhuk dengan ilmu


Suatu ktika Imam Ghazali brsembahyg jemaah dgn adikny. Imam Ghazali mnjdi Imam mnkala adiknya menjdi makmum. Tiba-tiba semasa bersembahyang, adik Imam Ghazali mufarakah (keluar daripada menjadi makmum) dan bersembahyang sendirian.

Setelah selesai menunaikan sembahyang Imam Ghazali terus bertanya kepada adiknya: "Mengapa ketika bersembahyang engkau meninggalkan aku dan bersembahyang sendirian"

Lantas adiknya menjawab; "Bagaimanakah aku hendak bersembahyang denganmu. Aku lihat tubuhmu penuh bersalut darah. Lantaran itulah aku bermufarakah dan sembahyang sendirian"

Mendengar jawapan adiknya itu Imam Ghazali terus berfikir dan lantas teringat bahawa memang benar, pada ketika itu beliau sedang menulis tentang permasalahan haidh. Dan, memang benar juga, terdapat satu saat semasa beliau menunaikan sembahyang pemikiran beliau terbawa-bawa oleh apa yang sedang beliau tulis itu. Dan saat itu jugalah Allah zahirkan apa yang sedang beliau fikirkan itu ke mata adiknya sehingga adiknya melihat tubuh badannya dipenuhi dengan darah.

Imam Ghazali terkejut lantas bertanya kepada adiknya; "Bagaimanakah kamu berupaya untuk melihat hal yang ghaib? Beritahulah kepadaku dari siapa kamu belajar ilmu ini"

Adiknya kemudian menjawab; "Engkau tidak layak belajar dengannya. Engkau orang yang masyhur, sedangkan guruku ini orang biasa sahaja"

Imam Ghazali terus mendesak sehingga akhirnya adik beliau bersetuju untuk membawanya berjumpa dengan gurunya itu. Di pasar, mereka mendatangi seorang penjual daging. Lalu adiknya memberitahu itulah guruku.

Imam Ghazali terus berkata kepada penjual daging;"Tuan, saya mohon untuk belajar ilmu dengan Tuan"

Penjual daging menggelengkan kepalanya lalu berkata; "Aku tidak ada ilmu untuk mengajar kamu"

Imam Ghazali merayu sekali lagi; "Ajarlah saya. Ajarkanlah saya ilmu yang Tuan tidak ada itu"

Penjual daging tetap enggan menunaikan keinginan Imam Ghazali itu. Akhirnya Imam Ghazali berkata kepada penjual daging tersebut; "Ajarlah saya. Saya serahkan diri saya kepada Tuan seumpama mayat menyerahkan diri kepada si tukang mandi"

Penjual Daging kemudian berkata; "Baiklah, tanggalkanlah jubah kebesaran kamu itu (jubah yang dipakai Imam Ghazali kerana beliau merupakan orang tertinggi di Universiti Nizamiyyah). Sapulah meja tempat aku memotong dan menjual daging ini dengan jubahmu itu."

Tanpa berlengah lagi Imam Ghazali terus menunaikan kehendak penjual daging tersebut tanpa sedikitpun merasa terkilan. Setelah selesai, beliau berkata lagi kepada penjual daging; "Ajarkanlah aku ilmu"

Penjual daging kemudian berkata;"Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh"

Tepat selepas Subuh keesokan harinya Imam Ghazali sudah sedia menanti sipenjual daging di hadapan rumah. Sebaik sahaja melihat Imam Ghazali beliau terus menyuruhnya memotong rumput di kawasan rumah. Imam Ghazali terus akur tanpa terdetik di dalam hatinya sedikitpun rasa terhina. Selesai menyiapkan tugas yang dipinta oleh penjual daging, Imam Ghazali pun mendatangi beliau, lalu mengulangi kata-kata;"Ajarkanlah aku ilmu"

Penjual daging berkata;"Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh"

Sama seperti hari sebelumnya, sebaik-baik sahaja selepas Subuh Imam Ghazali sedia menunggu di hadapan rumah penjual daging. Melihatkan Imam Ghazali, penjual daging meminta pula beliau mencuci longkang di sekeliling rumahnya. Imam Ghazali tetap taat menuruti perintah penjual daging.

Setelah selesai, Imam Ghazali berkata kepada penjual daging;"Wahai Tuan, kerja yang Tuan suruh telah dilaksanakan. Ajarkanlah aku ilmu."

Penjual daging berkata lagi;"Baiklah, datanglah kembali selepas Subuh esok"

Keesokan harinya hal yang sama juga berlaku. Kali ini penjual daging meminta Imam Ghazali menimba najis dari tandas beliau. Tugas yang ini juga dilaksanakan tanpa terselit sedikitpun perasaan terhina dalam hati Imam Ghazali.

Apabila selesai penjual daging tersebut berkata; "Segala ilmu yang kamu mahu telah kamu dapat. Pulanglah."

Dalam perjalanan pulang Imam Ghazali terkejut kerana mendapati pandangannya telah tersingkap dan beliau dapat melihat hal-hal yang ghaib.

Rabu, 15 Januari 2014

Salam Maulidur Rasul 1435 Hijriah



KELEBIHAN BERSELAWAT KE ATAS NABI
Berkata Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq رضى الله عنه : Bahawa Selawat ke atas Nabi صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ lebih kuat menghapuskan dosa dari air mata menghapuskan warna hitam Lauh .

Sebahagian sahabat رضى الله عنهم bertanya kepada Rasulullah صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ : “Adakah selawat itu akan diganjari dengan kehadiran hati?” Baginda Rasulullah صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ menjawab dengan sabdaannya : “Tidak. Bahkan Allah سبحانه وتعالى akan berselawat ke atas semua yang berselawat ke atasku dan memberikan mereka pahala sebesar bukit dan para malaikat akan berdoa serta memohon keampunan untuk mereka yang berselawat. Manakala mereka yang berselawat dengan menghadirkan hati, tidak diketahui berapa banyakkah ganjaran yang akan diberikan kepadanya melainkan Allah سبحانه وتعالى.

Ketahuilah, bahawa segala zikir tidak akan diberi pahala dan tidak akan diterima melainkan disertai dengan kehadiran hati kecuali membaca al-Quran dan berselawat ke atas Nabi صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ yang mana kedua-duanya diterima dan diberikan pahala walaupun dibaca tanpa kehadiran hati.


Hadith Pertama

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ :
 مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرًا

Terjemahan Hadith:

“Barang siapa berselawat ke atasku sekali (selawat), nescaya Allah سبحانه وتعالى berselawat atasnya sepuluh kali”.


Hadith Kedua

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ أَلفَ مَرَّةٍ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يُبَشَّرَ لَهُ بِالجَنَّةِ

Terjemahan Hadith:

“Barang siapa berselawat ke atasku seribu kali (selawat), nescaya dia tidak akan mati sehinggalah dibawakan berita gembira mengenai syurga untuknya”.


Hadith Ketiga

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
مَنْ صَلَّى عَليَّ صَلاةً واحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، وَمَنْ صَلَّى عَليَّ عَشْرًا صَلَّى الله عَلَيْهِ بِها مِائَةً، وَمَنْ صَلَّى عَليَّ مِائَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بها ألفا، وَمَنْ صَلَّى عَلَيَّ ألفًا لَم تَمَسَّهُ النَّارُ

Terjemahan Hadith:

“Barang siapa berselawat ke atasku  satu kali selawat nescaya Allah سبحانه وتعالى berselawat ke atasnya sepuluh kali selawat. Sesiapa yang berselawat ke atasku dengan sepuluh kali selawat, nescaya Allah سبحانه وتعالى berselawat ke atasnya dengan seratus kali selawat. Sesiapa yang berselawat ke atasku dengan seratus kali selawat, nescaya Allah سبحانه وتعالى berselawat ke atasnya dengan seribu kali selawat. Sesiapa yang berselawat ke atasku dengan seribu kali selawat, nescaya ia tidak akan disentuh oleh api neraka”.


Hadith Keempat

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
مَنْ نَسِيَ الصَّلاَةَ عَلَيَّ فَقَدْ أَخْطَأَ طَرِيقَ الجَنَّةِ

Terjemahan Hadith :

“Barang siapa yang lalaikan dirinya dari berselawat ke atasku, maka sesungguhnya ia tersalah jalan untuk menuju ke syurga”.

Hadith Kelima

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
إنَّ أوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ القِيَامَةِ أكْثَرُهُم عَلَيَّ صَلاَةً

Terjemahan Hadith :

“Sesungguhnya orang yang paling berhak bersama-samaku pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku”.


Hadith Keenam

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
صَلاَتُكُمْ عَلَيَّ مَحَاقَّـةٌ لِذُنـُوبِكُمْ كَمَا يَمْحَقُ المَاءُ النَّارَ

Terjemahan Hadith :

“Selawat kamu ke atasku akan menghapuskan dosa-dosa kamu seperti air memadamkan api”.


Hadith Ketujuh

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ في كُلِّ جُمُعَةٍ أرْبَعِينَ مَرَّةً مَحَا اللهُ ذُنُوبَهُ كُلَّهَا

Terjemahan Hadith :

“Sesiapa yang berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat sebanyak 40 kali selawat, nescaya Allah سبحانه وتعالى memadamkan segala dosa-dosanya”.


Hadith Kelapan

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
مَا مِنْ دُعَاءٍ إلا بَيْنَهُ وَبَيْنَ السَّماءِ حِجَابٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَيَّ ، فإذا صَلَّى عَلَيَّ انْخَرَقَ ذلِكَ الحِجَابُ وَرُفِعَ الدُّعَاءُ

Terjemahan Hadith :

“Tidaklah terdapat apa-apa dari satu doa itu melainkan di antaranya dan langit itu terdapat hijab (penghalang), sehinggalah dia berselawat ke atasku. Apabila dia telah berselawat ke atasku, maka terbukalah hijab (penghalang) itu dan doa tersebut diangkat ke langit”.


Hadith Kesembilan

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ فِي يَومٍ مائَةَ مَرَّةٍ قَضَى الله لَهُ مِائَةَ حَاجَةٍ سَبْعِينَ مِنْهَا لآخِرَتِهِ وَثَلاثِينَ مِنْهَا لِدُنْيَاهُ

Terjemahan Hadith :

“Barang siapa berselawat ke atasku dalam satu hari seratus kali selawat, nescaya Allah سبحانه وتعالى tunaikan seratus hajatnya. 70 hajat untuk akhiratnya dan 30 hajat untuk dunianya.”





Hadith Kesepuluh

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله ُعَلَيهِ وَسَلَّمَ :
مَن صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَمَلائِكَتُهُ عِشرِينَ مَرَّةً وَلَم يَمُت حَتَّى يُبَشَّرَ بِالجَنَّةِ

Terjemahan Hadith :

“ Barang siapa berselawat ke atasku dengan satu kali selawat, nescaya Allah سبحانه وتعالى dan malaikatnya akan berselawat ke atasnya sebanyak 20 kali selawat, dan dia tidak akan mati sehinggalah ia diberikan berita gembira masuk ke dalam syurga”.