BAIK BURUK
PERANAN HATI
Hati merupakan asas yang sangat
penting dan tersembunyi dalam diri setiap insan. la memainkan peranan yang
sangat bermakna dalam kehidupan seharian. Rasulullah s.a.w. menyatakan soal
hati seperti berikut:
‘Ketahuilah kamu di dalam badan
manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala
perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya.
Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati’
Berdasarkan hadis di atas bahawa
kebaikan manusia atau keburukannya datang dari hati, kerana hati adalah
pengarah bagi pancaindera yang lahir. Jika hatinya baik maka baiklah segala
perbuatannya serta rasa senang setiap rakan taulan mendekatinya dalam
pergaulan. Andai hatinya buruk dan busuk, maka segala perbuatannya akan jahat
dan keji, sentiasa cenderung ke arah maksiat mengikut kehendak hati dan hawa
nafsu, dan pemikirannya ketika itu pula akan kalah dan sentiasa diketepikan.
Oleh itu, hati adalah raja bagi seluruh anggota, manakala anggota-anggotanya
yang lain adalah tentera. Anggota-anggota ini sering melakukan sesuatu mengikut
kehendak hati. Andai baik hati maka baiklah dalam pergaulan. Andai sebaliknya,
maka kawan dan rakan seringl kali menjadi mangsa. Dalam masalah ini Allah s.w.t
sentiasa mengingatkan kepada hambaNya melalui firmanNya dalam al Quran, surah
al Syu'ara' 26, ayat 88-89 yang berbunyi:
‘Di
hari yang tidak ada manfaat sama ada harta benda begitu juga anak-anak melainkan
sesiapa yang menghadap Allah dengan hati yang suci murni (iaitu penuh keikhlasan)
kerana Allah semata-mata.’
Hati yang amat dihargai di sisi
Allah ialah hati yang suci bersih dari sebarang maksiat, syubhah, hasad dengki
dan seterusnya perkara perkara yang makruh atau yang dibenci oleh Allah. Sebab
itu Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa kepada Allah dengan sabdanya:
‘Ya Allah, sesungguhnya aku
memohon darimu hati yang suci bersih’
Walaupun Rasulullah s.a.w seorang
yang maksum, tetapi ia sentiasa berdoa supaya hatinya suci bersih. Hal ini
adalah bertujuan sebagai pengajaran kepada umatnya.
Dengan demikian hati yang suci
bersih dari sebarang kekejian itu ialah hati yang bersih dari segala penyakit
yang dibenci oleh Allah seperti hasad, dengki, dendam, iri hati, cemburu di
atas kejayaan orang lain atau merancang sesuatu yang tidak baik bertujuan
menganiaya orang lain dan sebagainya.
Seandainya tidak ada perkara-perkara
yang tersebut di atas, sudah tentu hati itu akan sentiasa kasih kepada Allah
dengan melakulkan perkara-perkara yang diredai oleh Allah dengan rasa ikhlas.
Rakan dan taulan juga menyenanginya dalam pergaulan dan Allah sentiasa
mengasihinya.
Situasi ini sangat dititik
beratkan oleh syariat kerana hati memainkan peranan penting ke arah mengukuhkan
keimanan dan memantapkan keyakinan akidah seseorang yang beriman kepada Allah
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
‘Tidak tetap iman seseorang hamba
sehinggalah tetap pendiriannya.’
Bagi menentukan ketetapan iman
atau sebaliknya dengan berdasarkan segala amalan anggota lahiriah yang
berlandaskan niat hati kerana kejujuran amalan itu tidak wujud melainkan
terletak pada hati yang ikhlas.
Pesan Nyai : Teringat Nyai lirik lagu nyayian Opic : “Jagalah
hati jangan kau kotori, jagalah hati lentera hidup ini”… Balik nanti cuba
cucu-cucu Nyai cari lagu tu… hayati senikatanyaJ… Semoga cucu-cucu Nyai dikurniakan hati yang bersih
dari segala kemaksiatan… tidak dinamakan orang itu baik hatinya kalau akhlak
dan perilaku tidak tunduk pada hukum Allah swt…
Selamat beramal… salam sayang
dari Nyai...