Rabu, 4 September 2013

Puasa Sunat Enam Syawal



Alhamdulillah, syukur, kita telah sama-sama dapat menamatkan ibadah Ramadhan yang lalu. Semoga segala amal ibadah kita dibulan Ramadhan diterima oleh Allah swt. 

Di dalam bulan Syawal ini juga, kita dituntut untuk menyambung ibadah puasa ramadhan dengan ibadah puasa sunat syawal selama enam hari. Sesiapa yang berpuasa sunat enam hari dibulan Syawal, maka pahalanya seumpama ia telah berpuasa selama setahun. 

Isu yang sering ditimbulkan ketika hendak berpuasa sunat enam ini ialah soal niat. ada yang hendak menggabungkan niat sunat enam dengan qadha ramadhan, ada yang tertanya-tanya nak mula yang mana dahulu? qadha ker sunat enam? maka secara ringkasnya dibuat kesimpulan disini pandangan ulamak dalam perkara ini agar ianya dapat sama-sama kita fahami dan hayati :

Pandangan Pertama :
  • Tidak boleh dan tidak sah sesuatu puasa, sama ada wajib atau sunnat, jika bermasukkan niat kedua-duanya. Maka jika seseorang yang mengqadha puasa Ramadhannya dalam bulan Syawwal dengan dua niat iaitu niat qadha dan niat puasa 6, maka puasanya itu TIDAK SAH, baik yang qadha maupun yang sunnat. Antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini ialah Imam an-Nawawi dan Imam al-Asnawi.
Pandangan Kedua :
  • Sah dan boleh, serta terhasil pahala puasa sunnat tersebut walaupun tidak sepenuhnya (yakni tidak sempurna pahalanya), sama ada dimasukkan niat-niat puasa tersebut atau tidak (yakni hanya diniatkan puasa qadha sahaja dan kebetulan dipuasakannya pada hari yang disunnatkan berpuasa seperti bulan Syawwal atau pada hari ‘Arafah), dengan syarat dia tidak mempunyai niat untuk menunaikan puasa Syawwalnya itu pada hari-hari yang lain. Ini adalah pendapat antaranya Imam al-Baarazi, al-Ashfuuni, an-Naasyiri, al-Faqih 'Ali bin Sholeh al-Hadhrami, Imam Syihabuddin ar-Ramli dan anaknya Imam Syamsuddin ar-Ramli dan nampaknya pendapat ini didukung oleh sekumpulan ulama mutakhir seperti Imam al-Khathib asy-Syarbini, bahkan ianya disebut oleh para ulama Jawi kita seperti Syaikh Arsyad dan Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathani.
Pandangan Ketiga :
  • Sah dan boleh, tetapi hasil asal pahalanya dan bukannya kesempurnaan pahalanya tertakluk kepada wujudnya niat. Hanya jika diikutsertakan niat kedua-duanya, yakni diniatkan dua niat tersebut barulah terhasil asal pahalanya. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan nampaknya pendapat ini juga banyak diikuti oleh orang kita di rantau sini.
Pandangan Keempat :
  • Jika diniatkan dua niat, maka hanya sah salah-satu daripadanya. Jika fardhu diniatkan beserta dengan sunnat, maka hanya yang fardhu sahaja sah, manakala niat yang sunnat dianggap tidak berlaku. Ini adalah pendapat Imam as-Samhudi dan Imam Abu Makhramah.

Wallahu a'lam...

Kesimpulannya :

Isu ini perkara khilaf yang wujud perbezaan pandangan dikalangan para alim ulamak yang muktabar. Justeru, kita boleh memilih mana-mana pandangan dan janganlah menyalahkan mana-mana pandangan yang tidak kita persetujuinya. Yang penting, kita berlapang dada.
 

Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan