HATI DIA...BUKAN HATI KITA...
KITA tidak boleh mengawal hati orang lain. Apa yang hendak mereka kata
dan fikir semuanya di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka yang
akan melantunkan tindakan serta perangai. Jika baik hati mereka,
baiklah cakap, layanan dan sangkaan mereka tetapi jika hati mereka
kotor, maka tindakan akan menterjemahkan segala hitam yang bersarang di
kotak hati itu.
Kadangkala, kita sudah lakukan yang terbaik
tetapi mereka kata kita main-main. Kita sudah berubah menjadi baik,
mereka kata hendak menunjuk-nunjuk. Kita lakukan dengan ikhlas,
mereka kata ada ‘udang di sebalik batu’. Rasanya kita sudah boleh agak
apa perasaan jika berada dalam situasi begitu.
Tentu marah bukan?
Justeru, kita perlu banyakkan bersabar dan bertenang kerana yang
mengukur baik dan buruk bukannya manusia. Yang memberi kehidupan
bukannya mereka kerana manusia tidak ada kuasa. Hanya Allah
s.w.t yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Dialah yang
ukur kebaikan kita, memberi rezeki dan memberi kehidupan kepada kita. Allah yang Maha Kuasa jugalah yang melarang buruk sangka (suu’ zann).
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Jauhilah kamu daripada buruk sangka kerana buruk sangka ialah seburuk-buruk berita.”
Manusia
memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal
dan mata selalunya tidak seiring. Mata melihat, otak memproses manakala
hati mentafsir. Jika hati yang berbaur dosa dan dengki mentafsir
kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan ini mesti pakai susuk.
Jika ada yang berpakaian cantik dikatanya ini mesti hendak
menunjuk-nunjuk.
Tetapi jika pakai selekeh pula dikatanya
‘memang selekeh betul.’ Jika ada yang pakai barang kemas dikatanya
‘sengajalah tu hendak tunjuk kaya.’ Jika tidak ada apa-apa pada tangan
dikata pula sebagai orang miskin.
Demikian juga apabila bercakap
banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula
dikatanya sombong. Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika
yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda
damai, jiwa harmonis, disenangi dan mudah dapat kawan. Jika sangkaan
buruk, jiwa sendiri yang sengsara. Hati sakit saja. Banyak fikir
mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata, semua tidak kena. Sebab
semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri
tidak difikirkan.
Tabiat sangka buruk terkena kepada semua
golongan. Yang tua dengan cara dan kepakarannya manakala yang muda
dengan kehangatannya. Jika kita hendak layan semua sangka buruk
orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita.
Lihat sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya menaiki seekor keldai,
Dalam
perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian
keldai tu.” Selepas itu. Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik
dari bawah.
Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya
menarik dari bawah.” Tukar posisi pula, anak naik keldai manakala Luqman
pula yang tarik dari bawah. Orang kata juga, anak apa itu buat ayah dia
macam hamba.
Justeru, ustazah mencadangan cara terbaik merawat penyakit buruk sangka ini ialah dengan beberapa cadangan antaranya:
-Berbaik sangka dengan semua orang.
-Tafsirkan segala yang kita lihat dengan positif.
-Tanamkan
rasa takut pada kemurkaan dan ancaman azab Allah dengan buruk sangka.
-Sucikan hati dengan memperbanyakkan zikir. Bersyukurlah dengan nikmat
yang Allah -kurniakan kepada kita. Melakukan muhasabah diri.
...Renung-renungkan, selamat beramal...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan