Selasa, 6 Ogos 2013

Siri 10 - Adab Dalam Menyambut Aidil Fitri

1- Apa itu Aidil Fitri?

Aidil عيد membawa maksud kembali.

Fitri فطري membawa maksud fitrah.

Iaitu kembali kepada fitrah. Umat Islam meraikan Aidil Fitri setelah sebulan berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Dan Aidil Fitri merupakan anugerah daripada Allah swt dengan pengampunan dosa (suci dan bersih kembali seperti kembali kepada bayi yang baru lahir) setelah sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa.

Namun, perlu diingat bahawa mereka yang menunaikan ibadah ramadhan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan sahajalah yang benar-benar akan dapat menghayati berapa besarnya aidil fitri dalam diri mereka, dan mereka redha dengan ketentuan Allah dan Allah juga Redha dia sebagai hambaNya.

2- Apakah amalan-amalan sunat dalam menyambut Aidil Fitri?

Antara amalan-amalan sunat dalam menyambut Aidil Fitri ialah :

- Sabda Nabi saw :

زينوا أعيادكم بالتكبير والتحميد والتهليل

Ertinya : " Hiasilah hari raya kamu dengan memperbanyakkan Takbir (الله أكبر ألله أكبر), Tahmid (الحمد لله) Tahlil (لاإله إلا الله).

Disunatkan bermula pada malam raya sehingga solat raya, kita memperbanykkan memuji dan membesarkan Allah swt dengan kalimat-kalimah Takbir, Tahmid, dan Tahlil

Dan kita boleh melafazkan kalimah-kalimah tersebut sambil kita membuat persiapan Aidil Fitri.

- Bangun untuk Qiamullail pada malam raya sebagai tanda syukur kepada Allah swt dengan anugerah Aidil Fitri
- Mandi sunat Aidil Fitri sebelum pergi menunaikan solat Aidil Fitri.

- Makan terlebih dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidil Fitri

- Berpakaian baru dan berwarna-warni, serta berwangi-wangian.

- Pergi ke Masjid dengan melalui jalan yang dekat dan balik melalui jalan yang jauh (untuk bertemu dengan lebih ramai sahabat dan rakan serta bermaaf-mafan selepas solat Aidil Fitri)

- Menunaikan solat sunat Aidil Fitri secara berjemaah dan mendengar 2 khutbah yang disampaikan oleh Khatib.

- Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sambil mendoakan sesama kita dengan doa  :

تقبل الله منا ومنكم  dan dijawab  منا ومنكم تقبل يا كريم

- Ziarah menziarahi dan memperbanyakkan sedekah dengan ikhlas

3- Apakah kesilapan yang sering dilakukan ketika menyambut Aidil Fitri ?

Antara kesilapan sebahagian umat Islam dalam menyambut Aidil Fitri ialah :

- Bilamana mengetahui bahawa esok adalah hari raya, kebanyyakkannya telah mula meninggalkan solat Isyak berjemaah di Masjid-masjid. Sedangkan Nabi saw bersabda : sesiapa yang meninggalkan solat Isyak berjemaah, akan ada titik-titik kemunafikan dalam dirinya nanti.

- Meninggal atau lewat menunaikan solat subuh kerana asyik dengan keseronokkan dan persiapan Aidil Fitri semata-mata. Sedang Nabi Saw bersabda : sesiapa yang meninggalkan solat subuh berjemaah di Masjid, akan ada titik-titik kemunafikan dalam dirinya nanti.

- Ramai umat Islam datang menunaikan solat SUNAT Aidil Fitri, tetapi tidak ramai yang hadir ke Masjid menunaikan solat FARDHU Subuh berjemaah.

- Bersalam-salaman antara yang bukan Mahram 

- Memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan berfesyen dengan cara yang tidak dibenarkan oleh Syarak serta bertabarruj (berhias-hias secara berlebih-lebihan) bagi orang perempuan terutamanya.

- Beraya sampai melewat-lewatkan waktu solat.

- Ziarah dengan niat semata-mata hendak mengumpul duit raya (kanak-kanak)- Ibu Bapa perlulah memaham dan mendidik anak-anak dalam soal ini.

Waallahu'alam...

p/s : Selamat Menyambut Aidil Fitri Maaf Zahir & Batin dari Panitia Pendidikan Islam dan Unit Dakwah dan Pembangunan Modal Insan SMKKB 2013.

Berhati-hatilah dalam perjalan balik ke kampung semoga selamat sampai dan selamat kembali. Semoga segala usaha dan amal ibadah kita dibulan Ramadhan diterima oleh Allah swt.

تقبل الله منا ومنكم
كل عام وانتم بالخير
من العائدين والفائزين والمقبولين
اللهم آمين

Tiada ulasan:

Catat Ulasan