Jumaat, 2 Ogos 2013

Siri 8 - Kafarah, Fidyah, Qada' Puasa

1.    APA ITU KAFARAH PUASA?

Kafarah puasa ialah hukuman yang dikenakan kepada suami yang sedang berpuasa Ramadhan melakukan jimak dengan sengaja. Suami Isteri yang membatalkan puasa dengan melakukan jimak dengan sengaja adalah berdosa dan puasa mereka terbatal. Diwajibkan atas mereka imsak (menahan diri dari makan dan minum) pada hari itu dan mereka perlulah menyegerakan qada’ puasa yang telah batal itu dengan segera selepas  ramadhan.

2.    SIAPAKAH YANG DIKENAKAN MENUNAIKAN KAFARAH TERSEBUT?

Mengikut pandangan yang sah الكَفَارَةُ العُظْمَى iaitu kafarah yang berat itu dikenakan ke atas si suami sahaja tidak ke atas isteri. Adapun mengikut pandangan yang kurang kuat, kafarah tersebut diwajibkan ke atas suami dan juga isteri, atau mereka berkongsi mengeluarkan kafarah tersebut. Hakim juga boleh mengenakan hukum  تَعْزِيْر ke atas suami seperti merotannya (tidak melebihi 40 kali) atau mempenjarakannya dan seumpamanya .

3.    APAKAH HUKUMAN KAFARAH JIMAK  YANG DIKENAKAN ITU?
 
Kifarah jimak itu adalah kiasan daripada hukum kafarah zihar. Disandarkan kepada firman Allah s.w.t dalam al-Quran :

”Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan.

Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”  .

Terdapat tiga jenis kafarah dalam ayat di atas dan mengikut tertibnya iaitu mesti mengeluarkan kafarah yang pertama dahulu, bila tidak mampu, baru boleh keluarkan kafarah yang kedua dan begitulah seterusnya.
a.    Memerdekakan seorang hamba abdi lelaki atau perempuan atau khunsa, dewasa atau kanak-kanak. 
Hamba yang hendak dimerdekakan itu pula mestilah memenuhi empat syarat berikut.
i.    Hamba itu mesti beragama Islam
ii.    Hamba itu mestilah sifatnya sejahtera daripada aib yang mengurangkan hasil pekerjaannya.
iii.    Hendaklah dia seratus peratus hamba.
iv.    Dikeluarkan hamba itu sebagai kafarah tanpa syarat.
Sekiranya ia tidak mampu mengeluarkan hamba abdi, maka bolehlah ia melaksanakan kafarah jenis kedua ;

b.     Berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika terputus walau sehari dengan sebab uzur seperti sakit atau tertinggal niat kerana lupa atau kerana bertemu dengan bulan Ramadhan atau Hari Raya Haji atau hari-hari tasyrik, maka ia wajib puasa kembali dua bulan berturut-turut dengan kiraan yang baru.

Sekiranya ia tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut kerana tua atau sakit, maka boleh baginya meninggalkan kafarah yang kedua dan melaksanakan kafarah yang ketiga;

c.     Mengeluarkan fidyah, iaitu dengan memberi makan (sedekah) 60 orang fakir miskin, dan setiap seorang satu mud atau satu cupak beras yang ia biasa makan . Bilangan 60 mud itu mestilah disedekahkan kepada 60 orang dengan setiap orang satu mud. Tidak boleh disedekahkan 60 mud untuk 120 orang atau 60 mud untuk seorang. Wajib setiap orang menerima satu mud.

Justeru, kafarah mestilah dilaksanakan mengikut turutan di atas tanpa boleh memilih mana-mana yang dikehendaki. Jika tiada kemampuan yang pertama barulah ianya akan berpindah kepada kafarah yang kedua dan begitulah seterusnya.

4.    BOLEHKAH SI SUAMI BERSAMA DENGAN ISTERINYA JIKA DIA BELUM MEMBAYAR KAFARAH JIMAK?

Haram bagi suami menyetubuhi isterinya selagimana ia tidak menunaikan kafarah jimak tersebut  . Hal ini hanya diharamkan kepada isteri yang dia dikenakan kafarah sahaja, tidak kepada isteri-isterinya yang lain.

Kafarah fidyah yang dikenakan ini menjadi wajib ke atas suami itu selama ada padanya kelebihan dari nafkah untuk dirinya dan anggota keluarganya. Jika tidak mampu pada waktu itu, ia wajib mengeluarkan pada masa akan datang yang dia mampu. Dalam hal seperti ini tidak haram baginya bergaul dengan isterinya itu  .

Mengikut satu lagi pandangan Syafie dan imam-imam yang lain, bila tidak mampu, kafarah gugur atasnya.

5.    SEANDAINYA PUASA PASANGAN ITU TELAH TERBATAL TERLEBIH DAHULU DENGAN SEBAB MAKAN DAN MINUM ATAU SEBAGAINYA, ADAKAH IA TETAP AKAN DIKENAKAN KAFARAH JIMAK JIKA IA BERJIMAK DI SIANG HARI RAMADHAN?

Kafarah tidak akan dikenakan jika jimak itu berlaku setelah batal puasanya kerana makan atau minum dengan sengaja. Puasa Ramadhan yang batal semata-mata kerana jimak yang sengaja sahaja yang dikenakan kafarah.

6.    ADAKAH KAFARAH AKAN TURUT BERULANG MENGIKUT BILANGAN HARI YANG DIBATALKAN PUASA RAMADHAN KERANA JIMAK SEMATA-MATA?

Ya. Orang yang berjimak di siang hari Ramadhan dengan sengaja diwajibkan ke atasnya kafarah dan mengqada’kan hari yang telah dibatalkannya. Kafarah itu berulang dengan berulangnya hari yang dibatalkannya dengan jimak.

Sekiranya batal puasa Ramadhan 2 hari kerana jimak yang disengajakan, maka wajib ke atasnya dua kafarah (selain qada’), dan begitulah seterusnya.

7.    APA ITU FIDYAH PUASA?

Fidyah puasa ialah memberi sedekah kepada fakir miskin dengan satu mud (مُدٌّ)  beras atau makanan asasi  bagi setiap satu hari yang ditinggalkan berpuasa.

8.    BILAKAH BAYARAN FIDYAH ITU PERLU DISERAHKAN KEPADA FAKIR MISKIN?
Fidyah boleh dikeluarkan pada hari yang ia tidak puasa atau sesudah hari itu, atau dikumpulkan dan dikeluarkan sesudah Ramadhan.
Fidyah tidak boleh dikeluarkan sebelum hari yang ia tidak puasa. Jika dilakukan, tidak sah fidyah tersebut dan hendaklah diniatkan atas makanan itu sebagai fidyah sebelum atau ketika dikeluarkannya.
Fidyah yang dikeluarkan itu boleh diberikan sekalipun kepada seorang fakir atau miskin sahaja.

9.    SIAPAKAH ORANG YANG DIWAJIBKAN KE ATASNYA FIDYAH SAHAJA?
Mereka yang diwajibkan ke atasnya fidyah sahaja ialah :
a.    Orang yang terlalu tua hingga lemah dan tidak berdaya untuk berpuasa lagi.
b.    Orang yang sakit yang tidak ada harapan sembuh.

10.    BAGAIMANA KEADAAN JIKA MEREKA YANG DIWAJIBKAN KE ATASNYA FIDYAH SAHAJA ITU TIDAK SEMPAT MEMBAYAR FIDYAH, DAN MENINGGAL DUNIA?
Jika mereka yang diwajibkan keatasnya fidyah sahaja meninggal dan tidak sempat membayarnya, maka walinya tidak harus untuk mengqadhakannya atau membayar fidyah baginya.
Jika wali hendak mengeluarkan fidyah, harus baginya menggunakan harta si mati untuk tujuan tersebut. Dan harus juga (bukan wajib) bagi si wali menggunakan hartanya sendiri.

11.    BAGAIMANA CARA MENGIRA GANDAAN FIDYAH YANG TIDAK DIBAYAR SEHINGGA MELEWATI RAMADHAN TAHUN BERIKUTNYA?
Fidyah akan berganda jika mereka yang diwajibkan membayar fidyah tidak membayarnya dan telah masuk ke Ramadhan tahun berikutnya.
Sebagai contoh: 
Seseorang telah meninggalkan puasa pada Ramadhan tahun 1427 Hijriah sebanyak 5 hari, maka wajib ke atasnya qada’ atau membayar fidyah (bagi yang uzur) selepas tamatnya Ramadhan tahun tersebut.
Tiba-tiba ia tidak mengqada’ atau membayar fidyah (bagi yang uzur) kerana sengaja atau  terlupa sehingga datang Ramadhan 1428 Hijriah, maka ketika itu mereka wajib qada’ dan membayar fidyah, dan bagi yang dikenakan fidyah sahaja (kerana uzur) hendaklah membayarnya 2 kali ganda selepas Ramadhan 1428 hijriah  tersebut (satu fidyah untuk tahun tersebut (1428H), dan dua lagi fidyah kerana tidak membayarnya untuk Ramadhan tahun 1427 hijriah).

12.    BILAKAH WAKTU UNTUK QADA’ PUASA YANG DITINGGALKAN DI DALAM BULAN RAMADHAN?
Seseorang yang meninggalkan puasa Ramadhan hendaklah mengqada’kannya semula selepas Ramadhan dan sebelum memasuki Ramadhan tahun berikutnya.
Hanya boleh qada’ pada hari-hari yang dibenarkan sahaja dan bukan pada hari-hari yang diharamkan seperti : dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) , dan 3 hari tasyrik (11,12,13 zulhijjah).

13.    SIAPAKAH YANG DIWAJIBKAN QADA’ SAHAJA ATAU FIDYAH SAHAJA ATAU KEDUA-DUANYA SEKALI?
    
Orang yang wajib qada’ puasanya sahaja ialah :

i.  Orang yang mabuk dan pengsan sepanjang siang hari Ramadhan
ii. Orang yang terlupa niat puasa
iii. Orang yang sengaja mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa
iv. Orang murtad
v.  Perempuan yang kedatangan haid dan nifas
vi. Orang yang bermusafir
vii.  Orang yang sakit , tetapi ada harapan sembuh
viii. Perempuan yang hamil atau yang menyusukan anak, jika berbuka kerana takut mudarat kepada dirinya sendiri atau kerana diri sendiri serta anaknya.
ix.    Orang yang berbuka kerana sangat lapar dan dahaga yang memudaratkan
Orang yang wajib fidyah sahaja ialah :
i.    Orang yang terlalu tua hingga lemah dan tidak berdaya untuk berpuasa.
ii.    Orang yang sakit dan tidak ada harapan sembuh
Orang yang wajib qada’ dan fidyah ialah :
i.    Perempuan yang hamil atau yang menyusukan anak, sekiranya ia berbuka kerana takut mudharat ke atas anaknya sahaja, seperti bimbang akan berlaku keguguran atau kekurangan air susu atau seumpamanya. Begitu juga hukumnya bagi wanita yang mengambil upah menyusukan bayi, jika dia berbuka kerana takut kekurangan susu maka wajib ke atasnya  qada’ dan fidyah.
ii.    Bagi mereka yang melambat-lambatkan qada’ puasa Ramadhan tahun lalu sehingga masuk bulan Ramadhan yang lain dengan tidak ada apa-apa keuzuran.
Orang yang tidak wajib qada’ dan fidyah ialah :

i.    Orang yang gila

ii.    Kanak-kanak

iii.    Kafir asli (bagi mereka yang murtad, jika ia balik kepada Islam, wajib ia qada’ semua puasa yang tertinggal itu, dan jika ia balik kepada Islam setelah bertemu Ramadhan yang lain, wajib ke atasnya qada’ dan fidyah.

14.    ADAKAH PUASA QADA’ ITU PERLU DILAKUKAN BERTURUT-TURUT?
Puasa qada’ itu tidak mesti dilakukan secara berturut-turut, bahkan harus berselang hari atau berselang bulan asalkan qada’ itu ditunaikan sebelum menjelma bulan Ramadhan yang lain.

15.    ADA YANG SUKA MELAMBAT-LAMBATKAN QADA’ PUASA SEHINGGA HAMPIR BULAN RAMADHAN BERIKUTNYA BARU HENDAK MENGQADA’KANNYA, ADAKAH BOLEH MELAMBAT-LAMBATKAN QADA’ PUASA ATAU PERLU DISEGERAKAN SEUSAI TAMAT RAMADHAN?
Terdapat beberapa orang yang diwajibkan mengqada’kan puasa yang ditinggalkan itu dengan cepat, kerana mereka telah melakukan dosa bila tinggal puasa :

i.    Yang meninggalkan puasa kerana murtad.

ii.    Yang meninggalkan niat puasa dengan sengaja

iii.    Yang berbuka dengan sengaja

iv.    Yang belum lagi habis qada’ sedangkan waktu yang tinggal itu sudah terlalu suntuk dengan tibanya Ramadhan yang lain.

16.    APAKAH YANG PERLU DIBUAT OLEH AHLI WARIS BAGI AHLI KELUARGANYA YANG MENINGGAL DUNIA DAN TIDAK SEMPAT MEMBAYAR HUTANG PUASA?
Dalam masalah ini, terdapat dua hukum yang perlu diketahui :

1.    Hukumnya adalah Harus (bukan wajib) bagi waris mengqada’kan puasa-puasa yang ditinggalkan itu atau mengeluarkan fidyah jika :

a.    Si mati meninggalkan puasanya kerana uzur dan tidak diqada’kan sekalipun ada waktu yang mencukupi untuk ia mengqada’kan. Atau ;

b.    Si mati meninggalkan puasanya tanpa keuzuran dan tidak diqada’kan sekalipun ada waktu yang mencukupi untuk ia qada’. Atau;

c.    Si mati meninggalkan puasanya tanpa keuzuran dan mati sebelum sempat mengqada’kannya.
Keharusan ini membolehkan bagi waris untuk memilih samada hendak mengqada’kan atau mengeluarkan fidyahnya. Namun, menurut pandangan jumhur ulamak, mengeluarkan fidyah itu lebih afdhal dari mengqada’kan puasa.

Menurut mazhab Syafie (qaul jadid) waris hanya boleh mengeluarkan fidyah sahaja dan tidak boleh mengqada’kannya kerana puasa adalah ibadah badan yang wajib ke atas diri orang itu sahaja untuk mengerjakannya.

2.    Hukum kedua adalah Tidak Harus bagi waris mengqada’kan atau mengeluarkan fidyah jika :

a.    Si mati meninggalkan puasanya kerana keuzuran dan tidak dapat waktu untuk mengqada’kannya.


p/s : Teruskan meningkatkan Ibadah dibulan Ramadhan, Tambah Ibadah, Tingkatkan Kualiti, Moga bertambah Iman & Taqwa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan