Selasa, 16 Julai 2013

Siri 3 - Persoalan Perkara Yang Membatalkan Puasa dan Perkara Sunat ketika Berpuasa



1.  Apakah perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa dan jika dilakukan atau berlaku akan membatalkan puasa?

Terdapat beberapa perkara jika terjadi atau dilakukan, akan membatalkan puasa.
i.      Makan dan minum dengan sengaja walaupun apa yang dimakan dan diminum itu sedikit.
ii.    Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
iii.   Muntah dengan sengaja
iv.   Berjimak
v.    Istimna’ (mengeluarkan mani dengan sengaja)
vi.   Haid
vii.  Nifas
viii.Gila
ix.   Murtad

2.  Adakah berkumur-kumur atau memasukkan air ke dalam hidung membatalkan puasa?

Berkumur-kumur tidaklah membatalkan puasa jika perbuatan tersebut tidak melampau. Namun sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan melampau dan berlebihan hukumnya adalah makruh dan jika tertelan dengan sebab melampau dalam berkumur, maka batallah puasa.
Hukum air yang dimasukkan ke hidung juga seperti hukum berkumur-kumur, iaitu batal jika melampau dan berlebih-lebihan sehingga masuk ke zahir halkum.

3. Orang yang sengaja menggosok gigi dan menjolok-jolok tekak atau kerongkongnya hingga termuntah, adakah batal puasanya?

Jika perbuatan menjolok tekak dan kerongkong tadi dilakukan dengan sengaja untuk muntah, maka batallah puasanya.
Nabi s.a.w bersabda :
مَنْ ذَرَعَهُ القَيْءُ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَ مَنِ اسْتَقَاَء عَمْدًا فَلْيَقْضِ
“Sesiapa yang termuntah maka tidaklah perlu ke atasnya qada’ (puasanya tidak batal dan tidal perlu ganti). Dan sesiapa yang berusaha muntah dengan sengaja maka hendaklah dia menggada’ (puasanya batal dan perlu ganti) .
Seseorang yang muntah kerana mabuk yang tidak disengajakan seperti perempuan yang hamil, mereka yang berada di lautan (mabuk kapal), atau dalam kenderaan, maka puasanya tidak batal.

4.  Apakah perkara yang disunatkan ketika berpuasa?

Terdapat banyak perkara sunat yang boleh diamalkan untuk melipat kali gandakan pahala ibadah puasa, antaranya :
i.      Menyegerakan berbuka puasa. Sekiranya telah diyakini masuknya waktu berbuka, maka disunatkan untuk bersegera dalam berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w :
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوْا الفِطْرَ
“Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagimana mereka terus menyegerakan berbuka”.
Perkara yang paling afdhal ialah kita berbuka dengan buah kurma. Sekiranya tidak ada buah kurma, maka dengan air.
Telah diriwayatkan :
كَانَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَن يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُن فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ فَإِنَّهُ طَهُوْرٌ
Nabi s.a.w berbuka sebelum sembahyang (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan tamar kering, Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci”.
ii.    Bersahur pada akhir malam walaupun makan dengan sedikit.
Sabda Nabi s.a.w :
تَسَحَّرُوْا فَإِنَّ فِي السَّحُوْرِ بَرَكَةً
Bersahurlah kerana pada sahur itu ada keberkatan” .
Sebaiknya sahur ini dilakukan di akhir malam kerana Nabi s.a.w bersabda :
لاَ تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوْا الفِطْرَ وَأَخَّرُوْا السَّحُوْرَ
Sentiasa umatku dalam kebaikan jika mereka menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur”.
iii.   Menjaga lidah daripada percakapan yang sia-sia. Mencela, menipu, mengumpat, dan menghasut adalah termasuk dalam perbuatan dan percakapan yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala ibadah puasa. Rasulullah s.a.w bersabda :
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ للهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ
Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya, maka Allah s.w.t tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya”.
iv.   Mandi Junub atau mandi wajib sebelum masuk waktu subuh. Mereka yang berjunub pada malam hari dan mandi selepas masuk waktu subuh masih dikira sah puasanya, namun disunatkan agar dilakukan sebelum masuknya waktu fajar untuk memastikan dirinya bersih daripada awal pelaksanaan ibadah puasa lagi.
            Wanita haid dan nifas juga disunatkan agar mandi sebelum fajar apabila telah sempurna suci dan darah berhenti sebelum itu.
v.    Berdoa ketika berbuka puasa. Doa orang yang berpuasa ketika berbuka adalah mustajab (mudah diterima)
            Sabda Nabi s.a.w :
 لِلْصَائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةً لاَ تُرَدُّ
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka doa yang tidak ditolak” .
      Antara doa yang biasa dibaca ialah :
اللهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
“Ya Allah, kerana Engkaulah aku berpuasa, dengan Engkaulah aku beriman, atas rezeki Engkaulah aku berbuka puasa. Dengan rahmatMu ya Allah yang maha pengasih”.
vi.   Menyediakan makanan untuk mereka yang berbuka puasa. Menjamu orang yang berbuka puasa merupakan amalan yang mulia. Nabi s.a.w bersabda :
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئا
“Barang siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang yang puasa) tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa sedikitpun

Rabu, 10 Julai 2013

Siri 2 - Erti Puasa, Pensyariatan, Soal Niat ?



1. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PUASA?

Puasa dari segi bahasa bermaksud : menahan diri dari sesuatu sama ada kata-kata atau pun makanan.




Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya Aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah Aku menyatakan Yang demikian) maka Aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini"
  .
Menurut istilah syarak, puasa bererti : menahan diri yang dikhaskan pada sesuatu perkara yang tertentu (makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa), pada waktu yang tertentu (dari terbit fajar hingga terbenam matahari) pada orang-orang tertentu (muslim, baligh, berakal, bersih dari haid dan nifas, berdaya dan bermukim) pada hari-hari yang dibolehkan berpuasa dan dengan niat berpuasa.

2. BILAKAH PENSYARIATAN PUASA KE ATAS UMAT ISLAM?

Puasa Ramadhan difardhukan pada bulan Sya’ban tahun kedua hijrah. Ibadah puasa juga telah diketahui dan diamalkan oleh umat-umat sebelum ini dan juga Ahli Kitab. Walaubagaimanapun kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan tidak pernah disyariatkan sebelum ini. Persamaan diantara umat ini dan umat sebelumnya ialah puasa pernah disyariatkan. Namun kefardhuan puasa Ramadhan hanya dikhususkan kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja.

Firman Allah s.w.t :

”Wahai orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa”  .

Dan dari Hadith Nabi s.a.w :

“Dari Ibnu Umar r.a, telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Islam itu dibangunkan atas lima (dasar) : Syahadah tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang (lima waktu), mengeluarkan zakat, berhaji ke Baitullah dan puasa bulan Ramadhan” .

Imam al-Nawawi r.h berkata :

“Rasulullah s.a.w berpuasa sembilan kali Ramadhan kerana ia difardhukan dalam bulan Sya’ban, tahun kedua hijrah dan Rasulullah s.a.w wafat pada bulan Rabiul Awwal tahun kesebelas hijrah”  .

3. BILAKAH WAKTU NIAT PUASA RAMADHAN ATAU PUASA WAJIB?

Niat puasa Ramadhan atau puasa wajib seperti di sebabkan nazar, qada’ dan kafarah hendak dilakukan pada waktu malam iaitu bermula dari terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar.
Sekiranya seseorang itu tidak berniat untuk melakukan puasa kecuali selepas terbit fajar, maka batallah niatnya dan tidak sah puasanya.
Hadith Nabi s.a.w :

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

“Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tidak ada puasa baginya”  .

Niat berpuasa Ramadhan juga hendaklah dilakukan pada setiap malam di bulan Ramadhan

4 BAGAIMANA LAFAZ NIAT PUASA RAMADHAN SETIAP HARI DAN LAFAZ NIAT SEBULAN?
Contoh lafaz niat Puasa Ramadhan setiap malam hari:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَان هَذِهِ السَّنَةِ للهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa pada esok hari fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”

Contoh lafaz niat puasa sebulan Ramadhan :
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَان  هَذِهِ السَّنَةِ للهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sebulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”

5. SEKIRANYA TAKUT TERLUPA, BOLEHKAH KITA NIAT PUASA SEBULAN DI AWAL RAMADHAN?
Niat puasa Ramadhan hendaklah dibuat pada setiap malam sebelum terbit fajar. Tidak memadai dengan satu niat untuk puasa sebulan kerana puasa Ramadhan bukanlah ibadah yang satu, tetapi ianya adalah ibadah yang berulang-ulang dan setiap ibadah itu mestilah dikhususkan niatnya .

Namun mengikut sebahagian pandangan, jika seseorang berniat untuk berpuasa pada hari pertama Ramadhan, maka memadai baginya dengan berniat sekali sahaja dan merangkumi keseluruhan bulan itu. Puasanya sah selagimana tidak terdapat sebarang sebab yang membatalkan turutannya. Jika ibadah itu terhenti daripada turutannya, maka seseorang itu hendaklah berniat sekali lagi. Tetapi jika seseorang itu menurut kepada mazhab Maliki yang membolehkan berniat untuk sebulan, sah puasa sebulannya itu. Justeru, jika dikhautairi akan terlupa niat, hendaklah berniat berpuasa sebulan Ramadhan pada malam pertama dan turut dituntut berniat puasa pada setiap hari.

Selasa, 2 Julai 2013

Siri 1- Pensyariatan Ibadah Puasa

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah : 183

Ertinya : Wahai orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.

Pengajaran ayat : 
1. Puasa dari segi bahasa bermaksud : menahan diri dari sesuatu sama ada kata-kata atau pun makanan.
Firman Allah s.w.t, Surah Maryam : 26:

"Sesungguhnya Aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah Aku menyatakan Yang demikian) maka Aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".

2. Menurut istilah syarak, puasa bererti : menahan diri yang dikhaskan pada sesuatu perkara yang tertentu (makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa), pada waktu yang tertentu (dari terbit fajar hingga terbenam matahari) pada orang-orang tertentu (muslim, baligh, berakal, bersih dari haid dan nifas, berdaya dan bermukim) pada hari-hari yang dibolehkan berpuasa dan dengan niat berpuasa.

3. Berkata Syeikh Mutawalli Sya’rawi rahimahullah dalam tafsirnya : Ayat ini Allah swt memulakan dengan perkataan “wahai orang-orang yang beriman”. Ini menunjukkan kewajipan ini ditujukan khusus untuk orang yang beriman. Dan orang yang beriman mengambil perintah Allah swt ini dengan kecintaan dan keimanan yang jitu walaupun di dalam menunaikannya terdapat kesukaran.

4. Ibadah puasa Ramadhan telah difardhukan pada tahun ke 2 Hijrah. Sebelum kefardhuan puasa Ramadhan, umat Islam diwajibkan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari Asyura’.

5. Puasa Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf. Menunaikan kewajipannya adalah salah satu dari cabang kesempurnaan Iman, dan meninggalkan kewajipannya adalah satu satu dari cabang kerosakkan iman.

6. Puasa ialah ibadah “ta’abbudi” yang telah difardhukan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya yang terdahulu daripada umat Muhammad saw dan juga ke atas umat Muhammad saw. Namun perlaksanaannya adalah berbeza.

7. Kewajipan puasa ramadhan ini bermula daripada kenampakkan hilal Ramadhan sehingga nampaknya hilal syawal.

8. Puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta berjimak, bermula daripada terbit fajar sodiq (mula masuk waktu subuh) sehingga terbenamnya matahari (mula masuk waktu maghrib).

9. Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah bersabda :

"رَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، وَالجُمْعَةُ إِلَى الجُمْعَةِ، وَالصَّلاَةُ إِلَى الصَّلاَةِ، مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتــُنِبَتِ الكَبَائِرُ"

Ertinya : Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, dan hari Jumaat ke hari Jumaat, dan satu sembahyang ke sembahyang yang lain menjadi penebus dosa diantara keduanya, selama dijauhi segala dosa-dosa besar”.

" Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak"
" Tingkatkan Kualiti dan Prestasi Ibadah Kita "
" Semoga Ibadah Puasa dan Ibadah-ibadah Kita Diterima Allah swt "

Rabu, 12 Jun 2013

KEISTIMEWAAN BULAN SYA'BAN

Rejab sudah berlalu.. 
Kini Sya'ban telah datang. 3 hari telah berlalu dan akan ke pertengahan Syaaban. Lambaian Ramadan lebih kurang 25 hari lagi. Ustazah kira kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


Kita bermunajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

 اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
"Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan"

Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
 

Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW

Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban

1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.

2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.

Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.
 

Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq. Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
 

Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
 

Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Ustazah menyeru diri dan sahabat semua marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.

Selasa, 21 Mei 2013

Selamat Hari Guru 2013

En. Azman Bin Safii (GPK 1 SMKKB) sedang memimpin Bacaan Yaasin & Tahlil

Alhamdulillah...

Sempena Hari Guru Peringkat SMKKB 2013, Unit Dakwah telah menganjurkan beberapa program :

1) Bacaan Yaasin dan Tahlil Perdana Kesyukuran Sempena Hari Guru

2) Bacaan Yaasin dan Tahlil Arwah untuk Almarhumah Ibu kepada Cikgu Rosmawati binti Zukni


Program telah dipimpin oleh Encik Azman bin Safii ( GPK 1 SMKKB)

Program telah berjalan dengan jayanya dengan penyertaan dari para guru dan pelajar ...

" SELAMAT HARI GURU "
 

 " GURU MALAYSIA  1 AGENDA 1 ASPIRASI "