Rabu, 10 Julai 2013

Siri 2 - Erti Puasa, Pensyariatan, Soal Niat ?



1. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PUASA?

Puasa dari segi bahasa bermaksud : menahan diri dari sesuatu sama ada kata-kata atau pun makanan.




Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya Aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah Aku menyatakan Yang demikian) maka Aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini"
  .
Menurut istilah syarak, puasa bererti : menahan diri yang dikhaskan pada sesuatu perkara yang tertentu (makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa), pada waktu yang tertentu (dari terbit fajar hingga terbenam matahari) pada orang-orang tertentu (muslim, baligh, berakal, bersih dari haid dan nifas, berdaya dan bermukim) pada hari-hari yang dibolehkan berpuasa dan dengan niat berpuasa.

2. BILAKAH PENSYARIATAN PUASA KE ATAS UMAT ISLAM?

Puasa Ramadhan difardhukan pada bulan Sya’ban tahun kedua hijrah. Ibadah puasa juga telah diketahui dan diamalkan oleh umat-umat sebelum ini dan juga Ahli Kitab. Walaubagaimanapun kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan tidak pernah disyariatkan sebelum ini. Persamaan diantara umat ini dan umat sebelumnya ialah puasa pernah disyariatkan. Namun kefardhuan puasa Ramadhan hanya dikhususkan kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja.

Firman Allah s.w.t :

”Wahai orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa”  .

Dan dari Hadith Nabi s.a.w :

“Dari Ibnu Umar r.a, telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Islam itu dibangunkan atas lima (dasar) : Syahadah tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang (lima waktu), mengeluarkan zakat, berhaji ke Baitullah dan puasa bulan Ramadhan” .

Imam al-Nawawi r.h berkata :

“Rasulullah s.a.w berpuasa sembilan kali Ramadhan kerana ia difardhukan dalam bulan Sya’ban, tahun kedua hijrah dan Rasulullah s.a.w wafat pada bulan Rabiul Awwal tahun kesebelas hijrah”  .

3. BILAKAH WAKTU NIAT PUASA RAMADHAN ATAU PUASA WAJIB?

Niat puasa Ramadhan atau puasa wajib seperti di sebabkan nazar, qada’ dan kafarah hendak dilakukan pada waktu malam iaitu bermula dari terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar.
Sekiranya seseorang itu tidak berniat untuk melakukan puasa kecuali selepas terbit fajar, maka batallah niatnya dan tidak sah puasanya.
Hadith Nabi s.a.w :

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

“Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tidak ada puasa baginya”  .

Niat berpuasa Ramadhan juga hendaklah dilakukan pada setiap malam di bulan Ramadhan

4 BAGAIMANA LAFAZ NIAT PUASA RAMADHAN SETIAP HARI DAN LAFAZ NIAT SEBULAN?
Contoh lafaz niat Puasa Ramadhan setiap malam hari:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَان هَذِهِ السَّنَةِ للهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa pada esok hari fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”

Contoh lafaz niat puasa sebulan Ramadhan :
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَان  هَذِهِ السَّنَةِ للهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sebulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”

5. SEKIRANYA TAKUT TERLUPA, BOLEHKAH KITA NIAT PUASA SEBULAN DI AWAL RAMADHAN?
Niat puasa Ramadhan hendaklah dibuat pada setiap malam sebelum terbit fajar. Tidak memadai dengan satu niat untuk puasa sebulan kerana puasa Ramadhan bukanlah ibadah yang satu, tetapi ianya adalah ibadah yang berulang-ulang dan setiap ibadah itu mestilah dikhususkan niatnya .

Namun mengikut sebahagian pandangan, jika seseorang berniat untuk berpuasa pada hari pertama Ramadhan, maka memadai baginya dengan berniat sekali sahaja dan merangkumi keseluruhan bulan itu. Puasanya sah selagimana tidak terdapat sebarang sebab yang membatalkan turutannya. Jika ibadah itu terhenti daripada turutannya, maka seseorang itu hendaklah berniat sekali lagi. Tetapi jika seseorang itu menurut kepada mazhab Maliki yang membolehkan berniat untuk sebulan, sah puasa sebulannya itu. Justeru, jika dikhautairi akan terlupa niat, hendaklah berniat berpuasa sebulan Ramadhan pada malam pertama dan turut dituntut berniat puasa pada setiap hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan