Selasa, 2 Julai 2013

Siri 1- Pensyariatan Ibadah Puasa

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah : 183

Ertinya : Wahai orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.

Pengajaran ayat : 
1. Puasa dari segi bahasa bermaksud : menahan diri dari sesuatu sama ada kata-kata atau pun makanan.
Firman Allah s.w.t, Surah Maryam : 26:

"Sesungguhnya Aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah Aku menyatakan Yang demikian) maka Aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".

2. Menurut istilah syarak, puasa bererti : menahan diri yang dikhaskan pada sesuatu perkara yang tertentu (makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa), pada waktu yang tertentu (dari terbit fajar hingga terbenam matahari) pada orang-orang tertentu (muslim, baligh, berakal, bersih dari haid dan nifas, berdaya dan bermukim) pada hari-hari yang dibolehkan berpuasa dan dengan niat berpuasa.

3. Berkata Syeikh Mutawalli Sya’rawi rahimahullah dalam tafsirnya : Ayat ini Allah swt memulakan dengan perkataan “wahai orang-orang yang beriman”. Ini menunjukkan kewajipan ini ditujukan khusus untuk orang yang beriman. Dan orang yang beriman mengambil perintah Allah swt ini dengan kecintaan dan keimanan yang jitu walaupun di dalam menunaikannya terdapat kesukaran.

4. Ibadah puasa Ramadhan telah difardhukan pada tahun ke 2 Hijrah. Sebelum kefardhuan puasa Ramadhan, umat Islam diwajibkan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari Asyura’.

5. Puasa Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf. Menunaikan kewajipannya adalah salah satu dari cabang kesempurnaan Iman, dan meninggalkan kewajipannya adalah satu satu dari cabang kerosakkan iman.

6. Puasa ialah ibadah “ta’abbudi” yang telah difardhukan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya yang terdahulu daripada umat Muhammad saw dan juga ke atas umat Muhammad saw. Namun perlaksanaannya adalah berbeza.

7. Kewajipan puasa ramadhan ini bermula daripada kenampakkan hilal Ramadhan sehingga nampaknya hilal syawal.

8. Puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta berjimak, bermula daripada terbit fajar sodiq (mula masuk waktu subuh) sehingga terbenamnya matahari (mula masuk waktu maghrib).

9. Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah bersabda :

"رَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، وَالجُمْعَةُ إِلَى الجُمْعَةِ، وَالصَّلاَةُ إِلَى الصَّلاَةِ، مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتــُنِبَتِ الكَبَائِرُ"

Ertinya : Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, dan hari Jumaat ke hari Jumaat, dan satu sembahyang ke sembahyang yang lain menjadi penebus dosa diantara keduanya, selama dijauhi segala dosa-dosa besar”.

" Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak"
" Tingkatkan Kualiti dan Prestasi Ibadah Kita "
" Semoga Ibadah Puasa dan Ibadah-ibadah Kita Diterima Allah swt "

Tiada ulasan:

Catat Ulasan