Selasa, 12 November 2013

Salam Maal Hijrah 1435

Allah SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan Allah, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.

Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan dalam bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat pada bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah bulan haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas RA berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana Allah telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada Allah dan kami pun turut serta berpuasa.
Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas RA berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-Allah kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

http://www.islamituindah.my/


p/s : Selamat Menyambut Maal Hijrah 1435, Semoga Kita Menjadi Hamba allah yang benar-benar memahami erti Kehambaan... Semoga Tahun ini adalah lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. 

Ingatlah, setiap hari, minit, masa dan saat yang berlalu itu tidak akan sama sekali dapat kita undurkan... semakin banyak hari yang kita lalui, semakin bertambah usia kita, semakin dekatlah kita dengan hari kematian...

Justeru, jadilah hamba yang mengenal erti kehambaan agar kita benar-benar menjadi hamba...

Rabu, 4 September 2013

Puasa Sunat Enam Syawal



Alhamdulillah, syukur, kita telah sama-sama dapat menamatkan ibadah Ramadhan yang lalu. Semoga segala amal ibadah kita dibulan Ramadhan diterima oleh Allah swt. 

Di dalam bulan Syawal ini juga, kita dituntut untuk menyambung ibadah puasa ramadhan dengan ibadah puasa sunat syawal selama enam hari. Sesiapa yang berpuasa sunat enam hari dibulan Syawal, maka pahalanya seumpama ia telah berpuasa selama setahun. 

Isu yang sering ditimbulkan ketika hendak berpuasa sunat enam ini ialah soal niat. ada yang hendak menggabungkan niat sunat enam dengan qadha ramadhan, ada yang tertanya-tanya nak mula yang mana dahulu? qadha ker sunat enam? maka secara ringkasnya dibuat kesimpulan disini pandangan ulamak dalam perkara ini agar ianya dapat sama-sama kita fahami dan hayati :

Pandangan Pertama :
  • Tidak boleh dan tidak sah sesuatu puasa, sama ada wajib atau sunnat, jika bermasukkan niat kedua-duanya. Maka jika seseorang yang mengqadha puasa Ramadhannya dalam bulan Syawwal dengan dua niat iaitu niat qadha dan niat puasa 6, maka puasanya itu TIDAK SAH, baik yang qadha maupun yang sunnat. Antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini ialah Imam an-Nawawi dan Imam al-Asnawi.
Pandangan Kedua :
  • Sah dan boleh, serta terhasil pahala puasa sunnat tersebut walaupun tidak sepenuhnya (yakni tidak sempurna pahalanya), sama ada dimasukkan niat-niat puasa tersebut atau tidak (yakni hanya diniatkan puasa qadha sahaja dan kebetulan dipuasakannya pada hari yang disunnatkan berpuasa seperti bulan Syawwal atau pada hari ‘Arafah), dengan syarat dia tidak mempunyai niat untuk menunaikan puasa Syawwalnya itu pada hari-hari yang lain. Ini adalah pendapat antaranya Imam al-Baarazi, al-Ashfuuni, an-Naasyiri, al-Faqih 'Ali bin Sholeh al-Hadhrami, Imam Syihabuddin ar-Ramli dan anaknya Imam Syamsuddin ar-Ramli dan nampaknya pendapat ini didukung oleh sekumpulan ulama mutakhir seperti Imam al-Khathib asy-Syarbini, bahkan ianya disebut oleh para ulama Jawi kita seperti Syaikh Arsyad dan Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathani.
Pandangan Ketiga :
  • Sah dan boleh, tetapi hasil asal pahalanya dan bukannya kesempurnaan pahalanya tertakluk kepada wujudnya niat. Hanya jika diikutsertakan niat kedua-duanya, yakni diniatkan dua niat tersebut barulah terhasil asal pahalanya. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan nampaknya pendapat ini juga banyak diikuti oleh orang kita di rantau sini.
Pandangan Keempat :
  • Jika diniatkan dua niat, maka hanya sah salah-satu daripadanya. Jika fardhu diniatkan beserta dengan sunnat, maka hanya yang fardhu sahaja sah, manakala niat yang sunnat dianggap tidak berlaku. Ini adalah pendapat Imam as-Samhudi dan Imam Abu Makhramah.

Wallahu a'lam...

Kesimpulannya :

Isu ini perkara khilaf yang wujud perbezaan pandangan dikalangan para alim ulamak yang muktabar. Justeru, kita boleh memilih mana-mana pandangan dan janganlah menyalahkan mana-mana pandangan yang tidak kita persetujuinya. Yang penting, kita berlapang dada.
 

Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin

Rabu, 7 Ogos 2013

SALAM AIDILFITRI 1434 H


1 Syawal 1434 Hijriah
 
Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir & Batin

Dari Kami :
Unit Dakwah & Pembangunan Modal Insan
Panitia Pendidikan Islam
SMKKB 2013 

Semoga Segala Amal Ibadah Kita Diterima Allah SWT
Teruskan Istiqomah Dalam Beribadah 
Tingkatkan Iman & Taqwa
Jauhi Perkara Maksiat

كل عام وأنتم بخير

Selasa, 6 Ogos 2013

Siri 10 - Adab Dalam Menyambut Aidil Fitri

1- Apa itu Aidil Fitri?

Aidil عيد membawa maksud kembali.

Fitri فطري membawa maksud fitrah.

Iaitu kembali kepada fitrah. Umat Islam meraikan Aidil Fitri setelah sebulan berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Dan Aidil Fitri merupakan anugerah daripada Allah swt dengan pengampunan dosa (suci dan bersih kembali seperti kembali kepada bayi yang baru lahir) setelah sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa.

Namun, perlu diingat bahawa mereka yang menunaikan ibadah ramadhan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan sahajalah yang benar-benar akan dapat menghayati berapa besarnya aidil fitri dalam diri mereka, dan mereka redha dengan ketentuan Allah dan Allah juga Redha dia sebagai hambaNya.

2- Apakah amalan-amalan sunat dalam menyambut Aidil Fitri?

Antara amalan-amalan sunat dalam menyambut Aidil Fitri ialah :

- Sabda Nabi saw :

زينوا أعيادكم بالتكبير والتحميد والتهليل

Ertinya : " Hiasilah hari raya kamu dengan memperbanyakkan Takbir (الله أكبر ألله أكبر), Tahmid (الحمد لله) Tahlil (لاإله إلا الله).

Disunatkan bermula pada malam raya sehingga solat raya, kita memperbanykkan memuji dan membesarkan Allah swt dengan kalimat-kalimah Takbir, Tahmid, dan Tahlil

Dan kita boleh melafazkan kalimah-kalimah tersebut sambil kita membuat persiapan Aidil Fitri.

- Bangun untuk Qiamullail pada malam raya sebagai tanda syukur kepada Allah swt dengan anugerah Aidil Fitri
- Mandi sunat Aidil Fitri sebelum pergi menunaikan solat Aidil Fitri.

- Makan terlebih dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidil Fitri

- Berpakaian baru dan berwarna-warni, serta berwangi-wangian.

- Pergi ke Masjid dengan melalui jalan yang dekat dan balik melalui jalan yang jauh (untuk bertemu dengan lebih ramai sahabat dan rakan serta bermaaf-mafan selepas solat Aidil Fitri)

- Menunaikan solat sunat Aidil Fitri secara berjemaah dan mendengar 2 khutbah yang disampaikan oleh Khatib.

- Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sambil mendoakan sesama kita dengan doa  :

تقبل الله منا ومنكم  dan dijawab  منا ومنكم تقبل يا كريم

- Ziarah menziarahi dan memperbanyakkan sedekah dengan ikhlas

3- Apakah kesilapan yang sering dilakukan ketika menyambut Aidil Fitri ?

Antara kesilapan sebahagian umat Islam dalam menyambut Aidil Fitri ialah :

- Bilamana mengetahui bahawa esok adalah hari raya, kebanyyakkannya telah mula meninggalkan solat Isyak berjemaah di Masjid-masjid. Sedangkan Nabi saw bersabda : sesiapa yang meninggalkan solat Isyak berjemaah, akan ada titik-titik kemunafikan dalam dirinya nanti.

- Meninggal atau lewat menunaikan solat subuh kerana asyik dengan keseronokkan dan persiapan Aidil Fitri semata-mata. Sedang Nabi Saw bersabda : sesiapa yang meninggalkan solat subuh berjemaah di Masjid, akan ada titik-titik kemunafikan dalam dirinya nanti.

- Ramai umat Islam datang menunaikan solat SUNAT Aidil Fitri, tetapi tidak ramai yang hadir ke Masjid menunaikan solat FARDHU Subuh berjemaah.

- Bersalam-salaman antara yang bukan Mahram 

- Memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan berfesyen dengan cara yang tidak dibenarkan oleh Syarak serta bertabarruj (berhias-hias secara berlebih-lebihan) bagi orang perempuan terutamanya.

- Beraya sampai melewat-lewatkan waktu solat.

- Ziarah dengan niat semata-mata hendak mengumpul duit raya (kanak-kanak)- Ibu Bapa perlulah memaham dan mendidik anak-anak dalam soal ini.

Waallahu'alam...

p/s : Selamat Menyambut Aidil Fitri Maaf Zahir & Batin dari Panitia Pendidikan Islam dan Unit Dakwah dan Pembangunan Modal Insan SMKKB 2013.

Berhati-hatilah dalam perjalan balik ke kampung semoga selamat sampai dan selamat kembali. Semoga segala usaha dan amal ibadah kita dibulan Ramadhan diterima oleh Allah swt.

تقبل الله منا ومنكم
كل عام وانتم بالخير
من العائدين والفائزين والمقبولين
اللهم آمين

Isnin, 5 Ogos 2013

Siri 9 - Lailatul Qadar

1- Apakah yang dikatakan malam al-Qadar (Lalatul Qadar) ?

Malam al-Qadar ialah Malam yang terbaik dari seribu bulan. Allah swt berfirman dalam al-Quran menjelaskan apa itu malam al-Qadar :

"sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar". - Surah al-Qadar ayat 1-5.

2- Bilakah berlakunya malam al-Qadar?

Malam al-Qadar itu antara malam-malam yang di rahsiakan oleh Allah swt bila terjadinya. Namun Baginda Nabi saw ada menyatakan dalam sabdaannya :

تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : "Carilah malam al-Qadar itu pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan"

Dalam riwayat yang lain, Nabi saw bersabda :

تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : "Carilah malam al-Qadar itu malam malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan"

Pelbagai riwayat dan pentafsiran serta huraian daripada para ulamak tentang malam al-Qadar. Namun yang jelasnya, malam itu adalah malam yang terbaik dari seribu bulan dan Allah swt merahsiakan malam tersebut agar hamba-hambanya bersungguh-sungguh dalam beribadah untuk mencari malam al-Qadar dengan hati yang tulus ikhlas mengharapkan redha daripadaNya.

3- Apakah tanda-tanda malam al-Qadar?

Disebutkan oleh Nabi saw dalam sabdaannya :

"Malam al-Qadar itu cuaca dan udaranya sangat menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin. Pada paginya pula matahari terbit dengan cahaya yang lemah (tidak panas atau terik) dan kemerah-merahan".

4- Bagaimana menghidupkan malam al-Qadar?

Nabi saw bila mana masuk malam terakhir dari bulan Ramadhan, Baginda akan berjaga malam dan membangunkan ahli keluarganya dan tidak mengadakan hubungan kelamin.

Baginda saw akan memperbanyakkan doa. Antara Doa yang diajar oleh Nabi saw untuk dibaca ialah :

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنى


Waallahu'alam...
p/s : Semoga bertemu dengan malam al-Qadar...

Jumaat, 2 Ogos 2013

Siri 8 - Kafarah, Fidyah, Qada' Puasa

1.    APA ITU KAFARAH PUASA?

Kafarah puasa ialah hukuman yang dikenakan kepada suami yang sedang berpuasa Ramadhan melakukan jimak dengan sengaja. Suami Isteri yang membatalkan puasa dengan melakukan jimak dengan sengaja adalah berdosa dan puasa mereka terbatal. Diwajibkan atas mereka imsak (menahan diri dari makan dan minum) pada hari itu dan mereka perlulah menyegerakan qada’ puasa yang telah batal itu dengan segera selepas  ramadhan.

2.    SIAPAKAH YANG DIKENAKAN MENUNAIKAN KAFARAH TERSEBUT?

Mengikut pandangan yang sah الكَفَارَةُ العُظْمَى iaitu kafarah yang berat itu dikenakan ke atas si suami sahaja tidak ke atas isteri. Adapun mengikut pandangan yang kurang kuat, kafarah tersebut diwajibkan ke atas suami dan juga isteri, atau mereka berkongsi mengeluarkan kafarah tersebut. Hakim juga boleh mengenakan hukum  تَعْزِيْر ke atas suami seperti merotannya (tidak melebihi 40 kali) atau mempenjarakannya dan seumpamanya .

3.    APAKAH HUKUMAN KAFARAH JIMAK  YANG DIKENAKAN ITU?
 
Kifarah jimak itu adalah kiasan daripada hukum kafarah zihar. Disandarkan kepada firman Allah s.w.t dalam al-Quran :

”Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan.

Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”  .

Terdapat tiga jenis kafarah dalam ayat di atas dan mengikut tertibnya iaitu mesti mengeluarkan kafarah yang pertama dahulu, bila tidak mampu, baru boleh keluarkan kafarah yang kedua dan begitulah seterusnya.
a.    Memerdekakan seorang hamba abdi lelaki atau perempuan atau khunsa, dewasa atau kanak-kanak. 
Hamba yang hendak dimerdekakan itu pula mestilah memenuhi empat syarat berikut.
i.    Hamba itu mesti beragama Islam
ii.    Hamba itu mestilah sifatnya sejahtera daripada aib yang mengurangkan hasil pekerjaannya.
iii.    Hendaklah dia seratus peratus hamba.
iv.    Dikeluarkan hamba itu sebagai kafarah tanpa syarat.
Sekiranya ia tidak mampu mengeluarkan hamba abdi, maka bolehlah ia melaksanakan kafarah jenis kedua ;

b.     Berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika terputus walau sehari dengan sebab uzur seperti sakit atau tertinggal niat kerana lupa atau kerana bertemu dengan bulan Ramadhan atau Hari Raya Haji atau hari-hari tasyrik, maka ia wajib puasa kembali dua bulan berturut-turut dengan kiraan yang baru.

Sekiranya ia tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut kerana tua atau sakit, maka boleh baginya meninggalkan kafarah yang kedua dan melaksanakan kafarah yang ketiga;

c.     Mengeluarkan fidyah, iaitu dengan memberi makan (sedekah) 60 orang fakir miskin, dan setiap seorang satu mud atau satu cupak beras yang ia biasa makan . Bilangan 60 mud itu mestilah disedekahkan kepada 60 orang dengan setiap orang satu mud. Tidak boleh disedekahkan 60 mud untuk 120 orang atau 60 mud untuk seorang. Wajib setiap orang menerima satu mud.

Justeru, kafarah mestilah dilaksanakan mengikut turutan di atas tanpa boleh memilih mana-mana yang dikehendaki. Jika tiada kemampuan yang pertama barulah ianya akan berpindah kepada kafarah yang kedua dan begitulah seterusnya.

4.    BOLEHKAH SI SUAMI BERSAMA DENGAN ISTERINYA JIKA DIA BELUM MEMBAYAR KAFARAH JIMAK?

Haram bagi suami menyetubuhi isterinya selagimana ia tidak menunaikan kafarah jimak tersebut  . Hal ini hanya diharamkan kepada isteri yang dia dikenakan kafarah sahaja, tidak kepada isteri-isterinya yang lain.

Kafarah fidyah yang dikenakan ini menjadi wajib ke atas suami itu selama ada padanya kelebihan dari nafkah untuk dirinya dan anggota keluarganya. Jika tidak mampu pada waktu itu, ia wajib mengeluarkan pada masa akan datang yang dia mampu. Dalam hal seperti ini tidak haram baginya bergaul dengan isterinya itu  .

Mengikut satu lagi pandangan Syafie dan imam-imam yang lain, bila tidak mampu, kafarah gugur atasnya.

5.    SEANDAINYA PUASA PASANGAN ITU TELAH TERBATAL TERLEBIH DAHULU DENGAN SEBAB MAKAN DAN MINUM ATAU SEBAGAINYA, ADAKAH IA TETAP AKAN DIKENAKAN KAFARAH JIMAK JIKA IA BERJIMAK DI SIANG HARI RAMADHAN?

Kafarah tidak akan dikenakan jika jimak itu berlaku setelah batal puasanya kerana makan atau minum dengan sengaja. Puasa Ramadhan yang batal semata-mata kerana jimak yang sengaja sahaja yang dikenakan kafarah.

6.    ADAKAH KAFARAH AKAN TURUT BERULANG MENGIKUT BILANGAN HARI YANG DIBATALKAN PUASA RAMADHAN KERANA JIMAK SEMATA-MATA?

Ya. Orang yang berjimak di siang hari Ramadhan dengan sengaja diwajibkan ke atasnya kafarah dan mengqada’kan hari yang telah dibatalkannya. Kafarah itu berulang dengan berulangnya hari yang dibatalkannya dengan jimak.

Sekiranya batal puasa Ramadhan 2 hari kerana jimak yang disengajakan, maka wajib ke atasnya dua kafarah (selain qada’), dan begitulah seterusnya.

7.    APA ITU FIDYAH PUASA?

Fidyah puasa ialah memberi sedekah kepada fakir miskin dengan satu mud (مُدٌّ)  beras atau makanan asasi  bagi setiap satu hari yang ditinggalkan berpuasa.

8.    BILAKAH BAYARAN FIDYAH ITU PERLU DISERAHKAN KEPADA FAKIR MISKIN?
Fidyah boleh dikeluarkan pada hari yang ia tidak puasa atau sesudah hari itu, atau dikumpulkan dan dikeluarkan sesudah Ramadhan.
Fidyah tidak boleh dikeluarkan sebelum hari yang ia tidak puasa. Jika dilakukan, tidak sah fidyah tersebut dan hendaklah diniatkan atas makanan itu sebagai fidyah sebelum atau ketika dikeluarkannya.
Fidyah yang dikeluarkan itu boleh diberikan sekalipun kepada seorang fakir atau miskin sahaja.

9.    SIAPAKAH ORANG YANG DIWAJIBKAN KE ATASNYA FIDYAH SAHAJA?
Mereka yang diwajibkan ke atasnya fidyah sahaja ialah :
a.    Orang yang terlalu tua hingga lemah dan tidak berdaya untuk berpuasa lagi.
b.    Orang yang sakit yang tidak ada harapan sembuh.

10.    BAGAIMANA KEADAAN JIKA MEREKA YANG DIWAJIBKAN KE ATASNYA FIDYAH SAHAJA ITU TIDAK SEMPAT MEMBAYAR FIDYAH, DAN MENINGGAL DUNIA?
Jika mereka yang diwajibkan keatasnya fidyah sahaja meninggal dan tidak sempat membayarnya, maka walinya tidak harus untuk mengqadhakannya atau membayar fidyah baginya.
Jika wali hendak mengeluarkan fidyah, harus baginya menggunakan harta si mati untuk tujuan tersebut. Dan harus juga (bukan wajib) bagi si wali menggunakan hartanya sendiri.

11.    BAGAIMANA CARA MENGIRA GANDAAN FIDYAH YANG TIDAK DIBAYAR SEHINGGA MELEWATI RAMADHAN TAHUN BERIKUTNYA?
Fidyah akan berganda jika mereka yang diwajibkan membayar fidyah tidak membayarnya dan telah masuk ke Ramadhan tahun berikutnya.
Sebagai contoh: 
Seseorang telah meninggalkan puasa pada Ramadhan tahun 1427 Hijriah sebanyak 5 hari, maka wajib ke atasnya qada’ atau membayar fidyah (bagi yang uzur) selepas tamatnya Ramadhan tahun tersebut.
Tiba-tiba ia tidak mengqada’ atau membayar fidyah (bagi yang uzur) kerana sengaja atau  terlupa sehingga datang Ramadhan 1428 Hijriah, maka ketika itu mereka wajib qada’ dan membayar fidyah, dan bagi yang dikenakan fidyah sahaja (kerana uzur) hendaklah membayarnya 2 kali ganda selepas Ramadhan 1428 hijriah  tersebut (satu fidyah untuk tahun tersebut (1428H), dan dua lagi fidyah kerana tidak membayarnya untuk Ramadhan tahun 1427 hijriah).

12.    BILAKAH WAKTU UNTUK QADA’ PUASA YANG DITINGGALKAN DI DALAM BULAN RAMADHAN?
Seseorang yang meninggalkan puasa Ramadhan hendaklah mengqada’kannya semula selepas Ramadhan dan sebelum memasuki Ramadhan tahun berikutnya.
Hanya boleh qada’ pada hari-hari yang dibenarkan sahaja dan bukan pada hari-hari yang diharamkan seperti : dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) , dan 3 hari tasyrik (11,12,13 zulhijjah).

13.    SIAPAKAH YANG DIWAJIBKAN QADA’ SAHAJA ATAU FIDYAH SAHAJA ATAU KEDUA-DUANYA SEKALI?
    
Orang yang wajib qada’ puasanya sahaja ialah :

i.  Orang yang mabuk dan pengsan sepanjang siang hari Ramadhan
ii. Orang yang terlupa niat puasa
iii. Orang yang sengaja mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa
iv. Orang murtad
v.  Perempuan yang kedatangan haid dan nifas
vi. Orang yang bermusafir
vii.  Orang yang sakit , tetapi ada harapan sembuh
viii. Perempuan yang hamil atau yang menyusukan anak, jika berbuka kerana takut mudarat kepada dirinya sendiri atau kerana diri sendiri serta anaknya.
ix.    Orang yang berbuka kerana sangat lapar dan dahaga yang memudaratkan
Orang yang wajib fidyah sahaja ialah :
i.    Orang yang terlalu tua hingga lemah dan tidak berdaya untuk berpuasa.
ii.    Orang yang sakit dan tidak ada harapan sembuh
Orang yang wajib qada’ dan fidyah ialah :
i.    Perempuan yang hamil atau yang menyusukan anak, sekiranya ia berbuka kerana takut mudharat ke atas anaknya sahaja, seperti bimbang akan berlaku keguguran atau kekurangan air susu atau seumpamanya. Begitu juga hukumnya bagi wanita yang mengambil upah menyusukan bayi, jika dia berbuka kerana takut kekurangan susu maka wajib ke atasnya  qada’ dan fidyah.
ii.    Bagi mereka yang melambat-lambatkan qada’ puasa Ramadhan tahun lalu sehingga masuk bulan Ramadhan yang lain dengan tidak ada apa-apa keuzuran.
Orang yang tidak wajib qada’ dan fidyah ialah :

i.    Orang yang gila

ii.    Kanak-kanak

iii.    Kafir asli (bagi mereka yang murtad, jika ia balik kepada Islam, wajib ia qada’ semua puasa yang tertinggal itu, dan jika ia balik kepada Islam setelah bertemu Ramadhan yang lain, wajib ke atasnya qada’ dan fidyah.

14.    ADAKAH PUASA QADA’ ITU PERLU DILAKUKAN BERTURUT-TURUT?
Puasa qada’ itu tidak mesti dilakukan secara berturut-turut, bahkan harus berselang hari atau berselang bulan asalkan qada’ itu ditunaikan sebelum menjelma bulan Ramadhan yang lain.

15.    ADA YANG SUKA MELAMBAT-LAMBATKAN QADA’ PUASA SEHINGGA HAMPIR BULAN RAMADHAN BERIKUTNYA BARU HENDAK MENGQADA’KANNYA, ADAKAH BOLEH MELAMBAT-LAMBATKAN QADA’ PUASA ATAU PERLU DISEGERAKAN SEUSAI TAMAT RAMADHAN?
Terdapat beberapa orang yang diwajibkan mengqada’kan puasa yang ditinggalkan itu dengan cepat, kerana mereka telah melakukan dosa bila tinggal puasa :

i.    Yang meninggalkan puasa kerana murtad.

ii.    Yang meninggalkan niat puasa dengan sengaja

iii.    Yang berbuka dengan sengaja

iv.    Yang belum lagi habis qada’ sedangkan waktu yang tinggal itu sudah terlalu suntuk dengan tibanya Ramadhan yang lain.

16.    APAKAH YANG PERLU DIBUAT OLEH AHLI WARIS BAGI AHLI KELUARGANYA YANG MENINGGAL DUNIA DAN TIDAK SEMPAT MEMBAYAR HUTANG PUASA?
Dalam masalah ini, terdapat dua hukum yang perlu diketahui :

1.    Hukumnya adalah Harus (bukan wajib) bagi waris mengqada’kan puasa-puasa yang ditinggalkan itu atau mengeluarkan fidyah jika :

a.    Si mati meninggalkan puasanya kerana uzur dan tidak diqada’kan sekalipun ada waktu yang mencukupi untuk ia mengqada’kan. Atau ;

b.    Si mati meninggalkan puasanya tanpa keuzuran dan tidak diqada’kan sekalipun ada waktu yang mencukupi untuk ia qada’. Atau;

c.    Si mati meninggalkan puasanya tanpa keuzuran dan mati sebelum sempat mengqada’kannya.
Keharusan ini membolehkan bagi waris untuk memilih samada hendak mengqada’kan atau mengeluarkan fidyahnya. Namun, menurut pandangan jumhur ulamak, mengeluarkan fidyah itu lebih afdhal dari mengqada’kan puasa.

Menurut mazhab Syafie (qaul jadid) waris hanya boleh mengeluarkan fidyah sahaja dan tidak boleh mengqada’kannya kerana puasa adalah ibadah badan yang wajib ke atas diri orang itu sahaja untuk mengerjakannya.

2.    Hukum kedua adalah Tidak Harus bagi waris mengqada’kan atau mengeluarkan fidyah jika :

a.    Si mati meninggalkan puasanya kerana keuzuran dan tidak dapat waktu untuk mengqada’kannya.


p/s : Teruskan meningkatkan Ibadah dibulan Ramadhan, Tambah Ibadah, Tingkatkan Kualiti, Moga bertambah Iman & Taqwa

Khamis, 1 Ogos 2013

Siri 7 - Fatwa Jakim Bagi Ibadah Puasa Pesakit

Bagi pesakit yang menggunakan ubat dan alat-alat perubatan ke atas anggota badan yang berongga seperti mulut, lubang hidung, telinga, dubur (Suppository)dan faraj(Pessary, Huraian masalah berkaitan adalah seperti berikut:

PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN RAWATAN PERUBATAN YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA IALAH :

1.    Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengans yarat tidak sampai batas gegendang telinga);

2.    Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambils ecara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris)bagi pesakit jantung ;

3.    Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut;

4.    Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi, atau salur darah;

5.    Pendermaan atau pemindahan darah;

6.    Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;
7.    Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;

8.    Memasukkan tiub kecil(catheter)melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;

9.    Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;

10.    Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle(sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan;

11.    Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yang diambil daripada hati atau organ–organ lain untuk tujuan analisa makmal;

12.    Penggunaan ubat semburan(spray)hidung tanpa disedut;

13.    Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis ;

14.    Menjalani rawatan bius setempat atau separuh(local) dengan semburan atau suntikan setempat; dan

15.    Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.



PERKARA-PERKARA BERKAITAN DENGAN RAWATAN PERUBATAN YANG MEMBATALKAN PUASA :

1.    Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah(athma)atau penyakit paru-paru kronik;

2.    Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal(vaginoscope), atau pengawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita;

3.    Memasukkan sebarang tiub catheter , alat pemeriksaan dalam saluran kencing (urethroscope) ,barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing  bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan ‘urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing);

4.    Penggunaan alat seperti enema , tiub suppository  , teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rectum untuk pemeriksaan;

5.    Penggunaan teropong usus(endoscope) atau teropong  perut (gasteroscope)untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman; dan

6.    Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.

p/s : Rujukan Buku Panduan Ibadah Puasa Bagi Pesakit, Terbitan JAKIM 2009 (Fatwa Kebangsaan)

PERHATIAN :
Isu perubatan merupakan isu kontemporari. Dan terdapat banyak perbezaan pandangan dikalangan Ilmuan Islam, dan pakar perubatan. Justeru, saya kemukakan disini apa yang telah diputuskan oleh pihak Jawatan Kuasa Muzakarah Fatwa Jakim. Dan boleh jadi sidang pembaca sekalian akan bertemu dengan pelbagai pandangan yang kontra dengan fatwa di atas, maka terpulanglah pada anda untuk menilai dan menggunakannya. Ini perkara khilaf dan tidak perlu dipergaduhkan, apa yang penting semua mereka yang berijtihad itu adalah ilmuan dan pakar rujuk, maka kita sebagai orang awam, hendaklah berlapang dada dengan mana-mana ijtihad semasa para ulamak tersebut.

sekian, Salam LAILATUL QADAR...


Jumaat, 26 Julai 2013

Siri 6 - Perkara Yang Makruh Ketika Berpuasa



1.  Apakah perkara-perkara yang tidak membatalkan puasa tetapi ianya dihukumkan makruh?

Sebaik-baik ibadah itu dilakukan dengan sesempurna yang boleh. Orang yang sedang menjalani ibadah puasa hendaklah menjauhi perkara-perkara makruh kerana ianya boleh mengurangkan pahala ibadah tersebut.
Antara perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berpuasa ialah :
a.      Memberus gigi selepas gelincir matahari (selepas waktu zohor). Hadith Nabi s.a.w :
لَخَلُوْفُ فَمِ الصَّائِمِ يَوْمَ القِيَامَةِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ المِسْكِ
“Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi pada hari kiamat”
Dalam Hadith ini tidaklah dinyatakan hukum makruh memberus gigi selepas gelincir matahari, namun kita dapati bau mulut kebiasaannya berubah ketika pada waktu zohor. Oleh kerana bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah s.w.t, maka wajarlah dibiarkan sahaja bau mulut itu kerana sedang berpuasa.
b.      Berwangi-wangian yang keterlaluan sehingga mengasyikan. Seandainya digunakan hanya sekadar menghilangkan bau badan, tidaklah mengapa (tidak berlebih-lebihan).
c.       Tidur dengan banyak. Ada yang menyatakan bahawa tidur itu ibadah, bersandarkan kepada Hadith Nabi s.a.w :
نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ
“Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah”
Namun bukankah jika digantikan tidur yang banyak itu dengan ibadah seperti membaca al-quran, berzikir, solat sunat dan sebagainya lebih menambah pahala ibadah. Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah.
d.      Merasai makanan. Suri rumah atau tukang masak hendaklah berhati-hati agar tidak merasa makanan secara berlebihan kerana dibimbangi akan masuk ke dalam rongganya.
e.      Mandi Junub selepas terbit fajar. Junub tidaklah menidakkan puasa, tetapi yang lebih afdhal ialah menyelesaikannya sebelum fajar. Seseorang yang berjunub hendaklah memastikan dirinya bersih daripada awal puasa lagi. Wanita yang haid dan nifas juga disunatkan agar mandi sebelum fajar apabila telah sempurna suci dan darah berhenti sebelum itu.
f.        Berbekam. Ini kerana dengan berbekam akan melemahkan diri orang yang berpuasa.
g.      Keterlaluan ketika berkumur-kumur semasa berwudhuk.
h.      Melambat-lambatkan berbuka puasa.
i.        Mencium dan memeluk pasangan (suami & Isteri) seandainya dengan perbuatan tersebut boleh menaikkan nafsu dan syahwat.
j.        Mengumpul air liur dengan banyak dan menelannya. Air liur itu hendaklah ditelan sahaja tanpa perlu dikumpulkan banyak-banyak. Terdapat juga yang suka meludah merata-rata, kerap meludah juga termasuk dalam perkara makruh.