1. Apakah perkara-perkara yang tidak membatalkan puasa tetapi ianya dihukumkan makruh?
Sebaik-baik ibadah itu dilakukan
dengan sesempurna yang boleh. Orang yang sedang menjalani ibadah puasa
hendaklah menjauhi perkara-perkara makruh kerana ianya boleh mengurangkan
pahala ibadah tersebut.
Antara perkara-perkara yang
makruh dilakukan ketika berpuasa ialah :
a. Memberus gigi selepas gelincir matahari (selepas waktu
zohor). Hadith Nabi s.a.w :
لَخَلُوْفُ فَمِ الصَّائِمِ يَوْمَ القِيَامَةِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ المِسْكِ
“Sungguh bau mulut orang yang
berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi pada hari kiamat”
Dalam Hadith ini
tidaklah dinyatakan hukum makruh memberus gigi selepas gelincir matahari, namun
kita dapati bau mulut kebiasaannya berubah ketika pada waktu zohor. Oleh kerana
bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah s.w.t, maka wajarlah
dibiarkan sahaja bau mulut itu kerana sedang berpuasa.
b. Berwangi-wangian yang keterlaluan sehingga mengasyikan.
Seandainya digunakan hanya sekadar menghilangkan bau badan, tidaklah mengapa
(tidak berlebih-lebihan).
c. Tidur dengan banyak. Ada yang menyatakan bahawa tidur itu
ibadah, bersandarkan kepada Hadith Nabi s.a.w :
نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ
“Tidur orang yang berpuasa adalah
ibadah”
Namun bukankah jika digantikan tidur yang banyak itu
dengan ibadah seperti membaca al-quran, berzikir, solat sunat dan sebagainya
lebih menambah pahala ibadah. Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang
menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah.
d. Merasai makanan. Suri rumah atau tukang masak hendaklah
berhati-hati agar tidak merasa makanan secara berlebihan kerana dibimbangi akan
masuk ke dalam rongganya.
e. Mandi Junub selepas terbit fajar. Junub tidaklah
menidakkan puasa, tetapi yang lebih afdhal ialah menyelesaikannya sebelum
fajar. Seseorang yang berjunub hendaklah memastikan dirinya bersih daripada
awal puasa lagi. Wanita yang haid dan nifas juga disunatkan agar mandi sebelum
fajar apabila telah sempurna suci dan darah berhenti sebelum itu.
f.
Berbekam. Ini
kerana dengan berbekam akan melemahkan diri orang yang berpuasa.
g. Keterlaluan ketika berkumur-kumur semasa berwudhuk.
h. Melambat-lambatkan berbuka puasa.
i.
Mencium dan
memeluk pasangan (suami & Isteri) seandainya dengan perbuatan tersebut
boleh menaikkan nafsu dan syahwat.
j.
Mengumpul air
liur dengan banyak dan menelannya. Air liur itu hendaklah ditelan sahaja tanpa
perlu dikumpulkan banyak-banyak. Terdapat juga yang suka meludah merata-rata,
kerap meludah juga termasuk dalam perkara makruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan