MENCINTAI ILMU, DICINTAI ALLAH DAN RASUL...
Sering
kali kita mendengar dan melihat bait-bait
indah yang menceritakan tentang kemuliaan dan kepentingan ilmu dalam kita menelusuri
kehidupan seharian. Selalu juga kita dikisahkan dengan kisah-kisah tauladan
tentang betapa ilmu boleh menjadikan
manusia itu mulia atau hina di sisi Tuhan.
Allah
S.W.T akan mengangkat darjat orang-orang
yang beriman dengan orang-orang yan berilmu sebagaiman tercatat di dalam
firmanNya yang bermaksud:
“
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan
orang-orang yang diberi pengetahuan agama (dari kalangan kamu ) beberapa
darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam IlmuNya tentang apa yang kamu
lakukan”.
(surah
al-Mujadalah:11)
Kebanyakan
kita beranggapan kekayaan, pangkat, darjat dan harta adalah penentu
kebahagiaan, sebab itu tidak hairanlah ada di antara kita berlumba-lumba
mencari kesenangan, kemewahan di dunia sehingga kita terlupa tanggungjawab kita
kepada Allah S.W.T. Kita lebih suka menghadiri majlis hiburan, melakukan
aktiviti keseronokan yang tidak berfaedah daripada menghadiri majlis-majlis
ilmu, bertafaqquh dan mengikuti majlis zikir yang mendekatkan diri kepada
Allah. Hati kita seolah-olah tertutup
untuk mengejar cinta Allah.
Para
ulama’ ada menyatakan mencintai dunia adalah kegelapan, maka penerangnya adalah
dengan mencintai ilmu, mempelajari dan mengamalkannya. Mencintai ilmu sangat
penting dalam kita melayari bahtera kehidupan, sama ada ilmu berkaitan
al-Quran, hadis atau ilmu akademik lainnya, asalkan ia memberi manfaat, selagi
itulah kita perlu mempelajarinya. Ilmu
bukan sekadar dipelajari tetapi ia lebih bermakna apabila diamalkan dan disampaikan.
Tatapi, sudahkah kita teliti diari
harian kita, sejauh manakah kita meletakkan kecintaan kita terhadap ilmu
pengetahuan. Tahukah kita, mencari, mencintai, dan mempelajari ilmu dapat
mendekatkan diri kita kepada Allah dan RasulNya, sekaligus akan dicintai oleh
Allah dan RasulNya.
Terdapat
perbezaan di antara orang yang berilmu dan tidak berilmu. Orang yang berilmu
akan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya dan dimuliakan
dan di tinggikan darjatnya, sedangkan orang yang tidak berilmu, terus leka dan
tenggelam dalam syurga dunia ciptaan mereka dan jauh dari pimpinan dan rahmat
Allah. Rasulullah S.A.W juga telah
bersabda:
“Barang
siapa bersusah payah menutut ilmu Allah akan mudahkan baginya nanti jalan-jalan
ke syurga”.
ketahuilah
saudaraku, antara alamat dan tanda kejayaan seseorang mukmin itu ialah apabila
pada akhirnya dia mendapat kekuatan melakukan segala tuntutan Allah dan Rasul
terhadapnya dengan penuh keikhlasan dan berlapang dada. Kerana pujangga Arab
ada berkata : “ faedah mencintai ilmu itu sangat banyak, antaranya ia dapat
melancarkan lidah, mengembangkan akal, menjernihkan fikiran, menghilangkan
keresahan, mengambil pelajarana dari pelbagai pengalaman dan dapat memetik
nilai-nilai kehidupan”.
Wahai
penerus perjuangan para Nabi, seandainya benar kita mecintai Allah, carilah
jalan untuk kita memperolehi cintaNya. Ikutlah ajaran Rasulullullah S.A.W dan
para Rasul. Bukakan lah fikiran, lapangkan lah dada dan tenangkan lah hati-hati
kita, tidak ruginya kita ketinggalan di dunia, tidak apa-apa tidak di cintai
manusia, memadailah Allah dan Rasul bersama kita, mereka pasti mencintai kita, membuka
dan melorongkan hati kita dalam melakukan ketaatan dengan kefahaman dan ilmu.
Ketahuilah, sesungguhnya keredhaan Allah adalah sebesar-besar nikmat yang Allah
kurniakan kepada hambaNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan