Fadhilat Solat Berjemaah
Pertama ; Ganjarannya
27 kali ganda. Hadith riwayat daripada imam al-Bukhari, Baginda Nabi saw
bersabda ;
صلاة الجماعةِ تَفْضُلُ
صلاةَ الفذِّ بسبعٍ وعشرينَ درجةً
Daripada Abdullah bin
Umar r.hm, sesungguhnya Rasullah saw bersabda ;’ solat berjemaah itu lebih
afdhal daripada solat bersendirian 27 kali ganda”.
Cuba kita gambarkan,
seandainya seseorang itu diberi pilihan untuk di berikan RM 270 dengan RM 10,
mana yang hendak dipilih, sudah semestinya seseorang itu akan memilih RM 270,
kerana nilainya besar dan banyak.
Begitulah juga halnya dengan
ibadah solat kita, sekiranyanya kita berhajat kepada timbangan yang lebih
berat, besar nilaiannya dan banyak ganjarannya, mengapa tidak kita memilih
solat berjemaah berbanding solat bersendirian.
Kedua ; Para
Malaikat menjadi saksi dan memohon keampunan untuk mereka yang solat berjemaah.
Hadith sabdaan baginda Nabi
saw, yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah ;
قاَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم فَيَقُوْلُونَ : أَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّوْنَ وَتَرَكْنَاهُم
وَهُمْ يُصَلُّوْنَ، فَاغْفِرْ لَهُمْ يَوْمَ الدِّيْنِ
Maksudnya
; Rasulullah saw bersabda ; lalu para malaikat menjawab “ ketika kami
datang menemui mereka, mereka sedang solat dan ketika kami meninggalkan mereka,
mereka juga sedang solat, oleh itu berikanlah keampunan untuk mereka pada hari
kiamat kelak.
Hebatnya mereka yang menjaga
solat berjemaah, sehinggakan malaikat menjadi saksi baginya dihadapan Allah swt
kelak diakhirat. Satu bentuk penyaksian yang tidak ada syak dan keraguan
tentang batang tubuh yang menjadi saksi itu.
Malah bukan sekadar menjadi
saksi, tetapi malaikat-malaikt itu juga turut menyeru dan berdoa kepada Allah
swt agar mengampunkan dosa mereka yang solat berjemaah :
اللهم صل عليه، اللهم
اغفر لهم اللهم ارحمه
Ketiga : Mereka
yang solat berjemaah akan mendapat naungan Allah swt di hari kiamat kelak.
Hadith sabdaan baginda Nabi
saw yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan imam Muslim متفق عليه bahawa
baginda Nabi saw bersabda dari Abu Hurairah r.h :
قال : سَبْعَةٌٌ
يُظِلُّهُمُ اللهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلا ظِلُّهُ ... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ
مُعَلَّقٌ فِى المَسَاجِدِ...
Maksudnya : ada tujuh
golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah swt pada hari yang tidak ada
naungan melainkan naungan Allah iaitu antaranya : lelaki yang hatinya sentiasa
bertaut kepada masjid-masjid…”
Imam al-Nawawi ketika
menghuraikan hadith ini berkata : makna daripada hatinya tertaut dengan masjid
ialah hatinya sentiasa mengingati masjid dan beristiqamah pergi ke masjid
kerana solat berjemaah, dan ianya bukan bermaksud berterusan duduk di dalam
masjid.
Kesimpulannya : Terlalu
banyak fadhilat dan kelebihan solat berjemaah jika ingin diungkapkan satu
persatu, namun bak kata pepatah : hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Jika
ada keinginan dan keazaman, satu kelebihan yang kita ketahui sudah cukup dan
memadai untuk kita beramal dengannya, tetapi jika tidak ada kemahuan, diceritakan
seribu fadhilat sekalipun, tidak juga ditunaikan. Tepuk dada tanyalah iman.
Pesan Nyai : Semoga cucu-cucu
semua dalam keadaan sihat walafiat dan Nyai doakan semoga kita semua dapat
memanfaatkan usia muda kita dan kesihatan yang dipinjamkan oleh Allah swt
kepada kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepadaNya. Para Ulamak dan cerdik
pandai selalu mengingatkan, berkatalah kepada urusan dunia “bahawa waktu solat
telah masuk, kita tangguh kerja dan solat dahulu” bukan berkata “kita buat
kerja dahulu kemudian baru kita solat”… takut tak sempat solat sudah datang
malaikat maut menanti…
salam sayang dari Nyai...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan