Isnin, 7 Januari 2013

Alam Barzakh

1.    Soalan :
 

Apakah “Alam Barzakh”?

Jawapan :

“Alam Barzakh”  ialah pemisah. Alam Barzakh merupakan sebuah alam yang mula-mula di tempuh antara alam-alam Akhirat, dan dinamakan juga sebagai “Alam Kubur”. Alam Kubur merupakan alam yang dilalui oleh orang yang telah mati dan akan berpanjangan hingga hari kiamat.
Allah SWt berfirman dalam surah al-Mukmin, ayat 46 :

Ertinya : Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut- pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat- beratnya!"

Ada yang diseksa dan ada yang dilepaskan dari seksaan kubur. Ada yang disoal oleh Mungkar dan Nangkir dan ada yang tidak. Ada yang dibuka pintu neraka dan ruhnya diseksa. Ada yang dibuka pintu syurga dan ruhnya diberi nikmat. Ada yang menghadapi fitnah kubur (Dihimpit).
Imam Mujahid berkata :

" الـبـرزخ  هـو  الــحـاجـز  مـا  بـيـن  الـدنـيـا  و  الآخـرة  "
Ertinya : Alam Barzakh itu tembok pemisah di antara Dunia dan Akhirat.
Alam Barzakh juga diumpamakan suatu garisan yang menceraikan antara bayangan dan matahari, dan garisan yang menceraikan antara air tawar dengan air masin. Allah SWT berfirman :

Ertinya : “Dia membiar (melepaskan) dua lautan mengalir yang keduanya (kemudian) bertemu (antara laut air masin dengan air tawar di muka kuala) antara keduanya ada batas (benteng) yang tidak dilampaui oleh masing-masing”.
(Surah Ar-Rahman : 19)
Tiadalah yang satu melampaui yang lain sehingga bercampur antara keduanya.  Demikianlah ibarat Alam Barzakh itu.
Alam Barzakh merupakan alam di antara Alam Dunia dan Alam Akhirat . Disitulah manusia akan menetap dan menjalani kehidupan yang tiada lagi amal melainkan perhitungan kecil sementara menunggu saat dibangkitkan semula ke Alam Akhirat untuk perhitungan yang lebih besar.
Firman Allah SWT Surah Al-Mukminuun : 99-100:

Ertinya : (Orang kafir itu) hingga apabila seseorang mereka didatangi kematian dia berkata : “ Wahai Tuhanku, kembalikan aku agar aku berbuat baik dalam perkara yang telah aku lalaikan”, sesekali tidak, sesungguhnya itu sekadar perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada Barzakh (kehidupan baru yang membatasi antara Dunia dan Akhirat) sampai hari mereka dibangkitkan.

2.    Soalan :
 
Apakah yang berlaku setelah seseorang itu meninggal dunia?
-    Badannya ?
-    Rohnya?
 
Jawapan :

Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka badan (jasad) dan roh akan berpisah. Dalam erti kata yang lain,  Jasad akan mati, kaku dan tidak lagi bernyawa, tetapi roh yang keluar dari jasad itu kekal dan ia hanya berpindah dari alam dunia ke Alam Barzakh.
Imam al-Ghazali menyatakan : Mati itu ibarat menghentikan pergerakan semua sekali anggota, sedangkan segala anggota itu adalah menjadi alat, manakala roh mempergunakannya untuk kepentingannya.
Ibnu Arabi pula menyatakan : orang-orang yang mati itu ialah orang yang berpindah, sedangkan hidupnya masih kekal, tidak musnah, cuma yang hilang itu ialah Pemerintah (Wali iaitu Roh) daripada kerajaannya (Kerajaan Badan), di mana Allah SWT telah menyerahkan kepada Roh mentadbir Badan dalam masa pemerintahannya. Dan bila telah tamat tempoh masa pemerintahannya, maka terlepaslah kekuasaannya kepada pemerintahannya (Badan) dan kembalilah ia kepada kehidupan yang lain yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Dalam kitab Al-Hikam ada menyatakan :

"اِنَّكُم خُلِقْتُم لِلأَبَدِ لَكِنَّكُم تَنْتَقِلُوْنَ مِنْ دَارٍ إلى دَارٍ حَتَّى يَسْتَقِرَّ بِكُمُ القَرَارِ.
 
Ertinya : “Sesungguhnya anda dijadikan untuk hidup kekal, akan tetapi anda pastilah berpindah dari sebuah negeri (alam) ke sebuah negeri (alam) yang lain (menurut perkembangan alam itu : sunnah yang ditetapkan Allah) sehingga anda ditetapkan di negeri yang kekal (Akhirat)”.

Kesimpulannya, bila seseorang itu meninggal dunia, maka akan bercerailah roh dan jasad. Jasad akan mati dan kaku serta keadaannya terserahlah kepada Allah SWT samada dihancurkan atau dipelihara olehNya sebagai kemuliaan atau penghinaan, manakala roh pula akan hidup di alam lain iaitu alam barzakh yang tidak ada lagi kekuasaan baginya untuk menguasai dan mentadbir jasad. Dan roh akan hidup dalam keadaan mendapat nikmat atau azab bergantung kepada amalan kehidupannya di Alam Dunia.

3.    Soalan :
 
Apa yang berlaku di Alam Kubur? Dan bagaimanakah rupa kubur itu kepada orang yang ditanam di dalamnya?
 
Jawapan :

Rasulullah SAW bersabda :

القَبْرُ اِمَّا رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ اَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

Ertinya : Kubur itu samada taman dari taman-taman syurga atau lubang dari lubang-lubang neraka.

Kubur akan menjadi taman-taman syurga bagi orang yang beriman dan menjadi lubang-lubang neraka bagi mereka yang menderhakai Allah SWT, yang menyekutukannya dengan yang lain.

Dalam sebuah hadith riwayat daripada Imam al-Tirmizi ada menceritakan:

“Kubur itu juga akan ditaqdirkan oleh Allah SWT berkata-kata. Ia akan berkata : Akulah rumah dagang, akulah rumah menyendiri, akulah rumah tanah dan akulah rumah cacing”.

Manakala apabila seseorang mukmin dikuburkan, kubur pun berkata kepadanya :

"Marhaban wa Ahlan  Wasahlan, Engkaulah orang yang paling aku sukai, siapa yang berjalan di atasku (dipermukaan bumi) menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang akan aku lakukan terhadapmu”. Maka pada ketika itu juga, diluaskan kuburnya sejauh mata memandang dan dibukakan pintu baginya menuju ke syurga.

Sementara jika yang dikuburkan itu seorang yang derhaka atau kafir, kubur itu berkata kepadanya : 

"La Marhaban Wala Ahlan Wasahlan, sesungguhnya engkaulah orang yang paling aku benci, siapa yang pernah berjalan di atasku (dipermukaan bumi) menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang akan aku lakukan terhadapmu”. Lalu pada ketika itu juga, kedua tepi kubur menyempit sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.

Dalam riwayat daripada Ibnu Abi al-Dunya daripada Abdullah bin Ubaid, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya seorang mayat itu ketika berada di dalam kubur dan dia mendengar langkah kaki orang yang menghantarnya. Tidak ada yang lebih awal bercakap dengannya daripada lubang kuburnya. Ia berkata : “betapa kasihannya engkau wahai anak Adam! Bukankah engkau telah diperingatkan supaya berhati-hati tentang diriku, juga tentang kesempitan, himpitan, bau busuk,kengerian dan cacing-cacingku? Sudahkah engkau mempersiapkan diri untuk itu? Dan apa pula yang engkau persiapkan untukku?

Lagi riwayat dari Ibnu Abi al-Dunya dan Ibnu Mandah, daripada Umar bin Zar, dia menyatakan bahawa : 

“Jika seorang Mukmin memasuki lubang kuburnya, bumi akan berseru : “Apakah dia orang yang taat atau derhaka?”.

Jika dia orang yang soleh, maka akan datang yang berseru dari sudut kubur : “Berubahlah engkau wahai kubur kepada hijau dan jadilah engkau penyayang terhadapnya. Dia adalah benar-benar orang baik bagi Allah dan sebaik-baik hamba yang dikembalikan kepadamu”.

Maka berkatalah bumi : “ sekarang adalah saatnya dia memperolehi kemuliaan”.

Diriwayatkan daripada al-Khatib dalam kitabnya al-Tarikh, dari Yazid al-Raqasyi, beliau menceritakan : 

“Pernah sampai kepada saya satu berita, bahawa apabila seseorang mayat diletakkan di dalam kuburnya, dia akan dikelilingi oleh amalannya. Kemudian amalan-amalan itu ditaqdirkan oleh Allah dapat bercakap, katanya : “Wahai orang yang bersendirian di dalam kuburnya, telah terputuslah sudah engkau daripada teman-teman dan keluargamu, lalu tidaklah ada lagi yang lebih lemah lembut terhadapmu selain kami (amalannya)”.

Kemudian Yazid pun menangis sambil berkata : “Bahagia dan beruntunglah bagi siapa yang temannya orang soleh, dan celaka bagi siapa yang temannya orang jahat”.

Nabi Saw bersabda :

استغفروا لأخيكم وسلوا له التثبيت فإنه الآن يسأل

Ertinya : Mohonlah kamu keampunan dosa bagi saudara-saudaramu (yang telah meninggal dunia), dan mintalah dari Allah akan keteguhan bagi si mati untuk menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir, kerana pada waktu ini dia sedang disoal.

Kesimpulannya, riwayat-riwayat di atas telah menjelaskan kepada kita tentang keadaan-keadaan yang akan berlalu di  Alam Kubur. Persoalan malaikat Mungkar dan Nakir, seksa dan azab bagi yang derhaka dan menyekutukan Allah, nikmat dan kebahagian bagi mereka yang beriman kepada Allah, kesempitan dan keluasan kubur, semuanya pasti berlaku dan termasuk dalam perkara al-Samiyyat yang wajib diimani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan