Khamis, 18 Julai 2013

Siri 4 - Persoalan Berbuka Puasa



1. Bilakah masuknya waktu berbuka puasa?

Firman Allah s.w.t  :
“…kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam...”

Dalam ayat ini, yang dimaksudkan sehingga malam ialah sehingga terbenamnya matahari. Malam itu bermula apabila matahari terbenam dan berakhir setelah terbit fajar.

Dari Saidina Umar r.h, Nabi s.a.w bersabda :
عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ وَأَدْبَرَ النَّهَارُ وَغَابَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Apabila malam tiba dan siang berakhir dan terbenam matahari maka orang yang berpuasa itu berbuka”.

Dalam hadith ini diperjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “matahari terbenam”  ialah malam bermula dan siang berakhir. Pada masa itu, diizinkan bagi orang yang berpuasa untuk berbuka.

Dalam satu Hadith, Nabi s.a.w bersabda :
“Seseorang itu akan terus selamat selagi dia menyegerakan berbuka puasa”.

Imam al-Nawawi r.h berkata :

”Hadith ini bermaksud, kita digalakkan menyegerakan berbuka selepas mendapati matahari terbenam. Ia bererti kebajikan ummah akan sentiasa baik dan teratur selagi mereka patuh dengan sunnah ini. Tetapi, jika mereka sengaja melengah-lengahkan berbuka, itu adalah petanda bahawa mereka mengikuti kesesatan”.

Hadith Nabi s.a.w :
لاَ تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوْا الاِفْطَارَ
Umatku selamanya dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka”.
Justeru, masuknya waktu untuk berbuka puasa itu ialah selepas terbenamnya matahari. Seseorang yang mendapati matahari telah terbenam, maka sunat ke atasnya menyegerakan berbuka puasa sebelum solat Maghrib.

2. Apakah makanan yang paling afdhal ketika berbuka?

Makanan yang paling afdhal ketika berbuka ialah buah tamar atau manisan atau air.

Dalam satu Hadith Nabi s.a.w bersabda :

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبلَ أَنْ يُصَلِّىَ

“Adalah Rasulullah s.a.w berbuka dengan beberapa biji tamar sebelum solat”.

Jika tidak ada buah tamar ataupun manisan, maka disunatkan juga berbuka dengan meneguk sedikit air.

Hadith Nabi s.a.w :

اِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُم فَلْيُفْطِرُ عَلَى تَمَرٍ, فَإِنْ لمَ يَجِدْ فَلْيُفْطِرُ عَلَى مَاءٍ فَإِنَّهُ طَهُوْرٌ

Apabila berbuka puasa seseorang daripada kamu, maka berbukalah dengan buah tamar, jika tidak ada (buah tamar), maka berbukalah dengan air kerana ia bersih”.

3. Adakah doa khusus ketika hendak berbuka puasa?

Baginda Nabi s.a.w bersabda :
للِصَّاِئمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةٌ لاَ تُرَدُّ
”Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka doa yang tidak ditolak” .

Ketika hendak makan, maka disunatkan membaca doa iaitu:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّار. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Kemudian setelah berbuka bacalah doa ini :

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ اَفْطَرْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ العُرُوْقِ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ تَعَالَى

“Ya Allah, kerana Mu aku berpuasa , dengan rezeki Mu aku berbuka, dengan Mu aku beriman, kerana Mu aku telah berIslam (menyerah diri) kepada Mu aku bergantung. Telah hilang dahaga dan basah seluruh urat tubuh dan tercapailah pahala. InsyaAllah”.

Abdullah Ibnu Umar al-Khattab r.h pernah berdoa ketika berbuka :

الَّلهُمَّ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَئٍ فَاغْفِرْلِيْ

“Ya Allah dengan RahmatMu yang amat luas atas setiap sesuatu, ampunilah aku (dari segala dosa-dosaku).

Apabila selesai makan bacalah doa berikut :

الحمْدُ للهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ المُسْلِمِيْنَ

Doa orang yang sedang berbuka puasa itu tidak ditolak oleh Allah s.w.t. Justeru, gunakanlah peluang dan ruang yang diberikan untuk memohon sesuatu yang dihajati ketika berbuka puasa tanpa terbatas kepada doa yang dinyatakan di atas.

4. Antara Solat Maghrib dan berbuka puasa, mana yang perlu didahulukan?

Riwayat daripada Aisyah r.ha :

والفِطْرُ قَبْلَ الصَّلاَةِ أَفْضَلُ، لِفِعْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم

dan berbuka sebelum solat (maghrib) itu lebih afdhal kerana ianya perbuatan Nabi s.a.w”.

Dalam Hadith yang lain Nabi s.a.w bersabda :

اِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُم فَلْيُفْطِرُ عَلَى تَمَرٍ, فَإِنْ لمَ يَجِدْ فَلْيُفْطِرُ عَلَى مَاءٍ فَإِنَّهُ طَهُوْرٌ

Apabila berbuka puasa seseorang daripada kamu, maka berbukalah dengan buah tamar, jika tidak ada (buah tamar), maka berbukalah dengan air kerana ia bersih” .

Al-Mubarakfuri berkata :

Hadith-hadith yang menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan kurma basah, atau kurma kering, atau air adalah menjelaskan tempoh masa Rasulullah s.a.w berbuka puasa”.
Justeru, apa yang perlu dilakukan ialah, menyegerakan berbuka dengan memakan sedikit makanan, kemudian bangun menunaikan solat maghrib. Selepas itu, jika belum kenyang, bolehlah menyambung makan semula.

5. Apakah hukumnya mengadakan rumah terbuka untuk berbuka puasa dan disertai jemputan tersebut orang yang bukan Islam (kafir)?

Hukum menjamu orang Islam yang puasa berbuka adalah suatu ibadah sunat yang mendatangkan ganjaran pahala dan amalan yang baik.

Sabda Nabi s.a.w :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ

Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa berbuka, baginya pahala seperti pahalanya...”

Namun dalam permasalahan yang berkaitan menjamu orang kafir ketika berbuka, ianya merupakan suatu perkara yang perlu disandarkan kepada niat seseorang yang menjamu itu.

Diharuskan seandainya diniat  agar mereka yang kafir itu mengenali Islam dan hatinya lembut untuk menerima Islam sebagai Agamanya.

Namun sekiranya kerana suka-suka dan untuk kemeriahan semata-mata, maka ianya dilarang, kerana berbuka itu juga merupakan suatu kewajipan dan ibadah tidak boleh dilakukan dengan mencari kemeriahan dan keseronokkan semata-mata.

p/s : Selamat meneruskan Ibadah Puasa Ramadhan. Fasal Pertama (10 ramadhan yang awal) hampir tamat, Fasal Kedua menyusul pula... Bagaimana Ibadah KITA?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan